LIVERPOOL 4 NEWCASTLE 0

Liverpool menerima sokongan untuk memenangi gelaran juara Liga Perdana Inggeris (EPL) daripada bekas pengendali, Rafael Benitez.


Pengurus kelahiran Sepanyol itu menyaksikan pasukan bimbingannya, Newcastle United, tewas 4-0 di Anfield semalam, keputusan yang menyaksikan The Reds kini mendahului dengan kelebihan enam mata di persada liga.

Jaringan daripada Dejan Lovren, Mohamed Salah, Xherdan Shaqiri dan Fabinho memastikan kemenangan kelapan berturut-turut buat Liverpool dalam saingan EPL dan kemenangan ke-100 pasukan dalam semua kejohanan di bawah pimpinan Jurgen Klopp.

Dengan juara bertahan, Manchester City, tewas 2-1 kepada Leicester City, yang membenarkan Tottenham menaiki tangga kedua, Benitez berasakan Liverpool memiliki kualiti untuk memenangi liga buat kali pertama sejak 1989-90.

"Liverpool menunjukkan bahawa mereka sudah berupaya untuk menjulang gelaran," kata Benitez.

"Mereka memiliki pasukan yang berkualiti dan barisan pemain yang berada di tahap terbaik.

"Untuk memenangi gelaran, anda perlu mempamerkan aksi yang konsisten dan mereka mampu melakukannya."

Newcastle tidak dibolosi dalam dua perlawanan EPL sebelum ini tetapi Benitez tidak berhajat untuk menggunakan pendekatan bertahan di Anfield.

"Sukar untuk menjelaskan ketika anda tewas dengan rentak permainan yang telah dipamerkan.

"Kami telah bermain dengan baik, memiliki peluang tetapi ia tidak digunakan dengan sebaik mungkin," katanya.