Liverpool mahu ikut dominasi City -- Henderson

Oleh Staff Writer 26 Mei 2019 1385
Liverpool mahu ikut dominasi City -- Henderson
Jordan Henderson mahu melihat Liverpool menyamai dominasi Manchester City dan mula menjulang trofi setiap musim.

Liverpool berdepan Tottenham Hotspur dalam final Liga Juara-Juara Eropah di Madrid Sabtu depan dalam usaha menjulang trofi pertama sejak 2012.

City mengesahkan kejuaraan 'treble' musim ini, termasuk Liga Perdana Inggeris, semusim selepas menjulang dua trofi musim lalu.

Henderson, yang turut membarisi skuad yang tewas dalam final Liga Juara-Juara musim lalu, mahu melihat anak buah Jurgen Klopp itu turut berjaya seperti skuad kendalian Pep Guardiola itu.

"City memenangi tiga trofi musim ini dan kami mahu jadi begitu," katanya.

"Kami tidak mahu mengejar satu trofi tetapi menyasarkan lebih banyak kejayaan setiap tahun.

"Jika anda melihat City, mereka tidak berhenti dengan satu piala, mereka menjulang dua atau tiga trofi semusim dan itu yang perlu kelab ini lakukan. Itu sasarannya."

City menafikan Liverpool untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris musim ini walaupun The Reds meraih 97 mata.

Henderson menegaskan pasukannya meneruskan kemaraan dan berharap dapat menggunakan kesempatan terbaik di peringkat Eropah ketika aksi di Wanda Metropolitano nanti.

"Kami tidak boleh mengubah apa yang berlaku dalam liga tetapi berpeluang dalam final Liga Juara-Juara," tambahnya.

"Saya rasa kami agak kecewa beberapa hari tetapi bola sepak berubah dengan pantas, sama seperti fokus anda. Tiada apa yang lebih baik berbanding memberi fokus kepada final Liga Juara-Juara.

"Ini jelas sekali satu peluang keemasan buat kami dan kami mengakhiri musim ini dengan trofi.

"Jika ia tidak berlaku, sukar untuk menerimanya tetapi dalam masa sama, kami memandang ke depan menjelang musim akan datang."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen