Liverpool mengesahkan bakal kehilangan khidmat Fabinho sehingga tahun baru susulan kecederaan buku lali yang dialaminya sewaktu The Reds diikat 1-1 oleh Napoli dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah.

Pemain tengah Brazil itu kini terlepas tempoh penting dalam kempen The Reds setelah terpaksa dibawa keluar selepas 18 minit beraksi dalam perlawanan di Anfield, Rabu lalu.

"Ujian susulan terhadap kecederaan itu mendapati Fabinho bakal diketepikan sehingga tahun baru," kata wakil pendahulu Liga Perdana Inggeris itu.

"Pemain Brazil itu bakal menjalani program pemulihan bersama pasukan perubatan The Reds di Melwood dalam usaha kembali ke tahap kecergasan penuh."

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu bakal berdepan saingan empat kejohanan sepanjang bulan depan sambil berusaha untuk mempertahankan kelebihan lapan mata dalam carta liga.

Lebih getir, tatkala kelayakan ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara masih belum disahkan, mereka bakal bertandang ke Salzburg, 10 Disember ini.

Skuad kedua bakal berdepan Aston Villa dalam aksi suku akhir Piala EFL, 17 Disember ini sebelum Liverpool memulakan cabaran Piala Dunia Kelab di Qatar.

Sejak menyertai The Reds menerusi perpindahan bernilai GBP39 juta (RM210 juta) pada Mei 2018, Fabinho membuktikan kemampuannya selaku tonggak utama skuad bimbingan Klopp itu menerusi peranan selaku pemain tengah bertahan.

Malah, Liverpool belum pernah tewas dalam saingan Liga Perdana Inggeris setiap kali dia berada dalam kesebelasan utama setelah masuk selaku pemain gantian ketika tewas 2-1 di tangan juara musim lalu, Manchester City.

Liverpool bakal melayan kunjungan Brighton and Hove Albion malam ini sebelum menerima kehadiran Everton dalam aksi setempat Merseyside yang pertama musim ini, Rabu depan.

Leicester City, yang kini menduduki tangga kedua liga, akan melayan kunjungan The Reds di Stadium King Power pada minggu sehari selepas Krismas dalam aksi pertama anak buah Klopp itu selepas pulang daripada Piala Dunia Kelab.