Pertahanan kiri, Andy Robertson, berasakan Liverpool tidak mampu beraksi cemerlang tanpa kehadiran penyerang, Roberto Firmino.

Firmino terus mempamerkan persembahan mengagumkan pada permulaan musim 2019-2020 Liga Perdana Inggeris (EPL) kelmarin apabila menjadi pemain Brazil pertama meledak 50 gol ketika membantu The Reds meraih kemenangan 3-0 ke atas Burnley.

Pemain berusia 27 tahun itu meledak dua gol dan melakukan dua bantuan jaringan dalam empat perlawanan dan Robertson berpandangan penyerang itu seorang yang unik.

"Dengan teknik, jaringannya dan permainan menyeluruh, saya berasakan tiada pihak yang tidak menggemari Firmino," kata Robertson kepada media UK.

"Apa yang dilakukannya sangat penting kepada pasukan. Kami mungkin hilang arah tanpanya. Firmino seorang pemain bertaraf dunia."

Selepas jaringan sendiri Chris Wood, Firmino melakukan bantuan jaringan kepada Sadio Mane sebelum melengkapkan kemenangan Liverpool.

Robertson turut memuji kebolehan Firmino membantu pasukan ketika bertahan dan ia sangat penting bagi juara Eropah itu.

"Dia melakukan segala-galanya. Ia menjadikan dirinya seorang pemain yang unik.

"Dia memberikan tekanan kepada pertahanan lawan. Dia juga kerap turun membantu pemain tengah melancarkan serangan."