Jurgen Klopp menjelaskan bahawa Liverpool hanya akan bergiat aktif dalam jendela perpindahan pemain bulan ini sekiranya ia perkara yang betul untuk dilakukan ketika mereka sedang mencari penyelesaian terhadap masalah kecederaan di bahagian pertahanan pasukan itu.

Selepas kehilangan Virgil van Dijk dan Joe Gomez untuk jangka masa panjang, pasukan juara bertahan itu turut terpaksa beraksi tanpa Joel Matip, yang mengalami kecederaan kelangkang ketika menentang West Brom.

Rhys Williams menggantikan Matip yang cedera dalam babak pertama ketika terikat 1-1 di Anfield manakala Nathaniel Phillips bergandingan dengan Fabinho selaku pertahanan utama sewaktu terikat 0-0 dengan Newcastle United tiga hari lalu.

Liverpool dikaitkan untuk mendapatkan pertahanan tengah berpotensi bagi memperkuatkan pasukan itu pada pertengahan kempen musim ini, termasuk pemain Schalke, Ozan Kabak, dan tonggak Lille, Sven Botman.

Klopp, bagaimanapun, menegaskan kelab itu tidak akan melakukan urusan jual beli berdasarkan faktor berkenaan memandangkan mereka turut terkesan daripada segi kewangan berikutan pandemik COVID-19.

"Kami ada penyelesaiannya dalam skuad kami. Jika kami mampu atau kami akan melakukan sesuatu dalam jendela perpindahan, saya tidak tahu," kata pengurus Liverpool itu kepada media.

"Ia jendela perpindahan yang sukar seperti yang anda boleh bayangkan. Kini tidak banyak kelab memiliki wang. Sesetengah kelab tidak mempunyai wang tetapi tidak memerlukannya.

"Bagaimanapun, melakukan sesuatu tidak masuk akal -- melakukan perkara yang betul masuk akal.

"Saya menggemari Nathan (ketika menentang Newcastle). Dia sememangnya pemain muda yang menyedari kemampuannya dan menggunakannya. Dia hanya melakukan tugasnya, membantu kami.

"Alasan mengapa dia bermain adalah kerana jika Rhys bermain sekali lagi, Nate sudah tidak beraksi selama lima atau enam minggu, di mana ia tidak masuk akal kerana dia juga memerlukan rentak.

"Kami perlu memikirkan perkara seperti itu tetapi dia telah melakukan tugas dengan baik," katanya.