Pengerusi Liverpool, Tom Werner, percaya skuad kendalian Jurgen Klopp itu akan bertambah baik selepas mengharungi musim "ajaib".

The Reds hanya tewas satu perlawanan dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini tetapi terpaksa berpuas hati mengakhiri saingan di tempat kedua dengan 97 mata, jumlah ketiga tertinggi dalam sejarah saingan itu untuk mengakhir kempen satu mata di belakang sang juara, Manchester City.

Werner cukup gembira dengan usaha pasukannya sepanjang kempan musim ini sambil teruja menantikan perlawanan akhir Liga Juara-Juara (UCL) menentang Tottenham di Madrid, 2 Jun ini.

Liverpool buat julung kalinya memadamkan defisit 0-3 untuk menumbangkan Barcelona dalam aksi separuh akhir kedua di Anfield, Rabu lalu, bagi menebus kekalahan kepada Real Madrid dalam perlawanan akhir di Kiev, Ukraine, tahun lalu.

"Ia adalah musim yang ajaib," kata Werner kepada laman sesawang rasmi kelab itu.

"Tentu sekali kami kecewa kerana gagal memenangi liga tetapi ini adalah musim yang luar biasa dan skuad ini menampilkan persembahan menarik.

"Saya fikir kami telah menarik perhatian ramai di seluruh dunia dan saya fikir kami mendapat sokongan padu daripada penyokong sendiri. Saya sukar mengulas panjang mengenai Jurgen dan pemain-pemain.

"Kami akan bertambah mantap lagi. 97 mata yang dipungut, ia adalah tahun yang luar biasa.

"Meskipun tidak memenangi liga tetapi kami pasti akan kembali lagi musim depan dan kami amat bermotivasi untuk memenangi liga tahun depan.

"Sokongan padu yang kami terima (dalam kemenangan 4-0 ke atas Barca) begitu luar biasa dan seperti yang Jurgen katakan, sokongan yang dicetuskan penyokong dan corak permainan kami, Rabu lalu, merupakan salah satu aksi terhebat yang pernah disaksikan di Anfield. Saya tidak sabar-sabar lagi untuk menyaksikan pertemuan di Madrid."