Jesse Lingard kekal optimis mengenai harapan Manchester United menjulang takhta liga dan percaya mereka berpeluang memenanginya jika mampu mengekalkan kualiti permainan sehingga penghujung musim.

Skuad kendalian Jose Mourinho ketinggalan 13 mata kepada pendahulu liga, Chelsea, dan pengendali kelahiran Portugal itu berkata mereka tidak mampu untuk mengejar kedudukan The Blues.

United telah mempamerkan aksi yang menyerlah kebelakangan ini, memenangi tiga perlawanan berturut-turut dalam saingan liga, dan Lingard berasakan belum tiba masa untuk United berputus asa.

"Jika setiap pemain di dalam pasukan memberikan yang terbaik dan memenangi setiap perlawanan utama, saya melihat kami berpeluang untuk mencabar takhta liga," ujar Lingard kepada laman web rasmi pasukan.

"Kami sudah menemui rentak permainan kami. Rakan sepasukan yang lain memainkan peranan mereka untuk membantu United mencipta kemenangan.

"Saya berpendapat kami telah mempertingkatkan mutu permainan kami di bahagian pertahanan sejak tiga atau empat perlawanan yang lepas."