Lingard percaya Greenword tidak akan besar kepala 

Oleh Shaiful Shamsudin 26 Julai 2020 229
 Lingard percaya Greenword tidak akan besar kepala 
Jesse Lingard yakin rakan sepasukannya di Manchester United, Mason Greenwood, akan tetap merendah diri dan memanfaatkan sentuhan berbisa menakjubkan yang dimilikinya musim ini.

Greenwood menikmati perubahan mendadak dalam kempen 2019-20 apabila menjadi sebahagian daripada komponen utama skuad asuhan Ole Gunnar Solskjaer itu walaupun baru berusia 18 tahun.

Penggempur itu telah menyumbang 17 gol sekali gus menyamai pencapaian Wayne Rooney, George Best dan Brian Kidd daripada segi jumlah gol buat seorang pemain remaja selain menjadi tonggak utama sejak kempen musim ini bersambung semula bulan lalu. 

Kejayaan awal telah meningkatkan harapannya, baik untuk kelab mahupun negara, tetapi Lingard percaya rakannya sejak program akademi itu  mempunyai sikap yang tepat untuk terus meningkat.


 

"Sejak dia mula berlatih bersama pasukan pertama, dia melakukannya dengan sangat baik," kata Lingard -- yang hanya memulakan sembilan perlawanan liga musim ini -- kepada Sky Sports.

"Walaupun masih muda, dia mampu menggalas tugasnya dan mencetak gol termasuk mencipta gerakan jaringan. 

"Dia adalah penambahan yang sangat baik buat pasukan. Jelas sekali dia telah mencetak gol sejak dia masih kecil, kemudian pengurus telah mengesan bakatnya dan meletakkannya dalam pasukan utama. Dia telah membalas kepercayaan itu. 

"Baginya sekarang ini ialah soal bekerja keras, terus berlatih dan tetap merendah diri. 

"Saya rasa dia akan tetap melakukannya, dia selalu menjadi orang yang merendah diri dan dia juga beryakinan."

Greenwood berharap dapat melebarkan jumlah jaringannya ketika The Red Devils bertandang ke Leicester City malam ini yang menyaksikan pemenang bagi pertemuan itu akan menjamin tempat dalam kelompok empat teratas dan tiket Liga Juara-Juara (UCL) untuk musim depan.

Sekiranya gagal meraih tempat melalui EPL, United juga boleh lolos menerusi penguasaan kempen Liga Europa.

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen