Jesse Lingard mengakui dia menganggap kerjayanya di Manchester United sudah berakhir berikutan isu di media sosial sejak setahun lalu yang menyaksikan masalah keluarga telah menjejaskannya.

Lingard memperagakan prestasi buruk yang menyebabkannya kehilangan tempat utama di kelabnya mahupun England sementara jaringannya dalam kekalahan 1-2 kepada Astana, bulan lalu, menamatkan kemarau golnya selama 307 hari.

Ketika pra-musim, pemain berusia 26 tahun berkenaan memuat naik rakaman ketika sedang bercuti dengan rakan-rakannya di laman Snapchat sehingga dikenakan tindakan disiplin oleh pengurus, Ole Gunnar Solskjaer.

Lingard, yang menegaskan rakaman berkenaan telah diterbitkan secara tidak sengaja, mendedahkan dia diberi amaran terakhir oleh Solskjaer dan kejadian itu membuatkannya terfikir mengenai masa depannya di kelab berkenaan.

Penggempur itu, yang telah dikritik berikutan aktiviti di media sosialnya pada masa lalu, memberitahu Daily Mail: "Ini benar-benar adalah satu kesilapan untuk menyiarkannya. Saya mempunyai ramai pengikut yang masih muda dan saya tidak akan meletakkannya di sana dengan sengaja. Ia sesuatu yang tidak disengajakan.

"Saya bercadang menghantarnya secara peribadi kepada salah seorang kawan saya. Ketika itu saya berada di dalam pesawat yang sedang menunggu untuk berlepas. Kemudian seseorang daripada kelab mengarahkan saya agar membuang rakaman tersebut.

"Apabila saya menyedari apa yang telah dilakukan, saya menjadi kecut perut. Saya menganggapnya seperti 'karier saya di United sudah tamat."

"Saya diberitahu bahawa pengurus sangat marah tetapi ketika itu saya berada dalam penerbangan selama dua jam dan secara logiknya, tidak dapat melakukan apa-apa.

"Sebaik kembali, saya datang awal untuk bercakap dengan pengurus dan memohon maaf. Dia berkata ini adalah peluang terakhir. Jadi, saya terpaksa akur dan itulah yang saya lakukan. Saya bukannya bodoh.

"Tiada sebab saya akan membiarkan apa yang saya ada di kelab ini daripada dirampas. Secara keseluruhan, saya sudah kurang menggunakan media sosial. Saya melakukan apa yang perlu dilakukan."

Kejadian itu menjadi detik paling teruk dalam tahun yang sukar buatnya sambil mendedahkan bahawa dia bergelut untuk menjaga adik-adiknya tatkala ibunya jatuh sakit.

Tambahan pula Solskjaer -- yang tidak menyedari masalah itu -- memberinya tekanan supaya kembali ke prestasi asalnya, Lingard kemudian memberitahu pengurus itu mengenai masalahnya di luar padang selain ibu saudaranya yang bertarung dengan barah manakala neneknya tidak sihat.

"Saya tidak beraksi dengan baik dan pengurus sentiasa mendesak saya," katanya. "Jadi, saya berasakan jalan terbaik adalah untuk melepaskan segala-gala yang terbuku di dada dan beritahunya mengapa saya tidak fokus, maka saya berjumpa dengannya.

"Saya gemar menangani masalah sendiri seorang diri tetapi ia tidak semestinya tindakan yang betul. Saya selalu menggunakan frasa 'menjadi diri sendiri' tetapi saya menyedari bahawa akan ada saat-saatnya, anda tidak dapat melakukannya. Ayah saya dan abangnya, Louie, memberi sokongan besar tetapi beberapa perkara ini telah merobek hati saya,."

Perbincangan dengan Solskjaer terbukti menjadi titik perubahan yang menyaksikan Lingard mempamerkan prestasi mengagumkan ke atas Tottenham dan Manchester City minggu lalu selepas penampilan yang meyakinkan dari bangku simpanan dalam kemenangan 3-1 ke atas Brighton & Hove Albion bulan lalu.

"Ketika saya merujuk kepada pengurus, lalu dia berkata kepada saya, 'teruskan usaha dan beraksi dengan senyuman dan nikmatinya.' Mendengarnya telah memberi keyakinan kepada saya. Dia tahu karakter saya, saya perlu tersenyum," tambahnya.

"Dia baru saja memberitahu saya bahawa segala-galanya akan baik-baik saja, mungkin saya hanya memerlukan seseorang untuk mengatakannya. Dia berkata dia hanya mahu Jesse yang lama kembali dan kini saya mungkin boleh menawarkan itu kepadanya."