Penghijrahan Victor Lindelof dari Benfica ke Manchester United akan berjaya, menurut rakan sepasukan Sweden, Sebastian Larsson.

United mengesahkan mereka bersetuju dengan bayaran -- dilaporkan € 35 juta (RM167 juta) -- dengan juara Portugal itu, Sabtu lalu.

Bek tengah itu akan menjadi pemain pertama ditandatangani United pada musim tertutup ini, tertakluk kepada ujian perubatan dan terma peribadi.

Larsson, yang bermain bersama Lindelof dalam kemenangan 2-1 Sweden ke atas Perancis pada Jumaat lalu dan telah menghabiskan keseluruhan kerjaya seniornya di England, menegaskan pemain berusia 22 tahun itu akan menyerlah dalam Liga Perdana Inggeris hanya selepas dia menyesuaikan diri.

"Perkara utama adalah kualitinya tidak diragui dan dia adalah pemain yang efisien," kata Larsson kepada The Sun.

"Dan selagi orang memberinya sedikit masa untuk menyesuaikan diri, dia akan berjaya di United.

"Anda tidak boleh menafikan sifatnya. Dia telah bermain baik di peringkat kelab dan antarabangsa."

Larsson menambah: "Saya begitu kagum setiap kali saya bermain dengannya. Dia pemain penting dalam pasukan Sweden dan menunjukkan kematangan.

"Bukan sahaja mempunyai kualiti di atas padang tetapi dia mempunyai ketenangan. Dia seorang yang rendah diri dan mempunyai masa depan yang baik di depannya."

Lindelof dan Larsson sedang membuat persediaan untuk Sweden dalam aksi persahabatan menentang Norway awal pagi esok dengan mereka memburu kemenangan kelima berturut-turut.