Jurgen Klopp mengesahkan Trent Alexander-Arnold tidak dapat menyertai skuad kebangsaan England sambil sekali lagi menggesa kebenaran pertukaran lima pemain dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Alexander-Arnold terpaksa dikeluarkan dalam separuh masa kedua ketika Liverpool terikat 1-1 dengan Manchester City awal pagi tadi, dipercayai akibat kecederaan betis.

Pertahanan sayap itu berada dalam perancangan skuad England kendalian Gareth Southgate berkenaan menjelang perlawanan menentang Republik Ireland, Belgium dan Iceland dalam waktu rehat antarabangsa bulan ini.

Bagaimanapun, Klopp bekata pemain itu tidak dapat menyertai perlawanan berkenaan menjelang jadual padat musim 2020-21 yang kemuncaknya akan tiba dalam kejohanan Euro 2020 yang tertunda.

Kebanyakan kelab EPL mengundi untuk membantah penggunaan lima pertukaran pemain, peraturan yang sebelum ini dibenarkan selepas saingan itu bersambung susulan waktu rehat berikutan pandemik COVID-19, dan ia mengecewakan pengendali skuad The Reds itu.

"Ia kepimpinan yang lemah," kata Klopp dalam sidang media.

"(Ketua Pegawai Eksekutif EPL) Richard Masters telah melakukan kesilapan yang besar.

"Ia bukan satu kelebihan (untuk menggunakan lima pertukaran pemain), ia satu keperluan. Ia berlaku di negara lain, ia satu kesilapan besar dan anda kini berdepan situasi ini.

"Trent tidak dapat beraksi untuk England, ia bukan satu-satunya atau situasi terakhir yang perlu dihadapi Gareth," katanya.

Rakan sejawatan di City, Pep Guardiola, turut bersetuju dengan pandangan Klopp agar melupuskan peraturan hanya membenarkan tiga pertukaran yang ditetapkan dalam mesyuarat pemegang taruh EPL pada September lalu.

Ditanya apa yang dibincangkannya dengan pengurus Liverpool itu sebaik perlawanan tamat, Guardiola -- yang hanya menggunakan satu pertukaran dalam perlawanan itu -- berkata kepada Sky Sports: "Kami tidak bercakap mengenai keputusan. Kami berbincang mengenai bagaimana untuk memperjuangkan lima pertukaran pemain.

"Lihat, pemain kebangsaan England, Trent Alexander-Arnold, kini cedera. Seluruh dunia kini menggunakan lima pertukaran. Di sini, saya kira kita lebih istimewa kerana hanya membenarkan tiga.

"Kita tidak melindungi pemain. Sebab itu ia menjadi bencana. Saya mahu kita kembali menggunakan lima pertukaran untuk membantu pemain dan pengurus pasukan lain.

"Jika tidak, amat sukar untuk mengekalkannya," katanya.