Saingan Liga Perdana Inggeris tidak akan disambung pada awal Mei dan hanya akan dijalankan semula jika keadaan telah selamat dan sesuai untuk beraksi.

Saingan tertinggi England ditangguhkan sehingga 3 April selepas pengurus Arsenal, Mikel Arteta, dan pemain sayap Chelsea, Callum Hudson-Odoi, diuji positif coronavirus.

Penangguhan itu diteruskan sehingga 30 April selepas wabak itu merebak tetapi penganjur tetap yakin dapat menamatkan baki saingan.

"Dalam mesyuarat melibatkan pemegang taruh Liga Perdana Inggeris hari ini, semua kelab berbincang mengenai cara untuk menghadapi wabak coronavirus," kata wakil Liga Perdana Inggeris.

"Pertama, perkara paling penting adalah memastikan status keselamatan dan kesihatan untuk semua termasuk pemain, jurulatih, pengurus, staf kelab dan peminat.

"Justeru, Liga Perdana Inggeris tidak akan disambung pada awal bulan depan dan saingan 2019-20 hanya akan kembali apabila keadaan telah benar-benar selamat dan sesuai untuk dijalankan. Tarikh saingan masih dalam perbincangan memandangkan wabak COVID-19 masih berjalan dan kami bersatu untuk menghadapi situasi ini.

"Liga Perdana Inggeris bekerja keras dengan semua badan bola sepak profesional dalam negara termasuk kerajaan, agensi awam serta pemegang taruh yang lain untuk memastikan penyelesaian dicapai.

"Sasaran tetap sama untuk baki saingan liga dan trofi dimainkan, membolehkan kami mengekalkan kejujuran setiap kejohanan. Namun, saingan akan disambung jika menerima sokongan penuh kerajaan serta menerima lampu hijau daripada pihak kesihatan."