Lenggok Grealish persis Gascoigne, kata McLaren

Oleh Shaiful Shamsudin 10 Oktober 2020 531
 Lenggok Grealish persis Gascoigne, kata McLaren
Jack Grealish memiliki corak permainan seperti Paul Gascoigne tetapi bakal bergelut untuk merampas posisi Raheem Sterling dalam kesebelasan utama England, kata bekas pengurus The Three Lions, Steve McClaren.

Pemain tengah Aston Villa itu membuat kemunculan pertamanya bersama England ketika menguji Wales kelmarin dengan memperagakan aksi terbaiknya dalam kemenangan 3-0 di Wembley.

Salah satu kemuncaknya aksinya ialah umpanan kepada gol sulung Dominic Calvert-Lewin untuk membuka jaringan pada minit ke-26 sementara corak permainannya menjadi aset sebenar buat England.

Grealish juga memainkan peranan besar buat Villa dalam ketiga-tiga perlawanan liga musim ini termasuk menyumbat tiga gol daripada tiga percubaan tepatnya, bahkan dia menjadi pemain pertama yang mencatat lima gol Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika pasukannya membelasah juara bertahan, Liverpool 7-2.

Begitupun, dia masih berjuang untuk memahat nama di pentas antarabangsa di bawah kendalian Gareth Southgate, justeru McClaren berkata pemain berusia 25 tahun itu perlu terus meraih kepercayaan pengurus tersebut memandangkan dia mampu menyuntik sesuatu yang berbeza dalam pasukan itu.

"Prestasinya benar-benar matang. Dia adalah titik fokus buat pasukan Aston Villa, dia memerlukan pemain yang bagus di sekelilingnya dan apa yang dibeli oleh Aston Villa musim ini adalah pemain yang bagus," kata McClaren kepada Stats Perform News.

 

"Anda melihatnya kemampuan gandingan yang dibentuknya di samping Ross Barkley menentang Liverpool pada hujung minggu lalu dan menonjolkan dua hantaran menarik yang tidak dapat dicipta dan diilhamkan oleh orang lain dan England tidak mempunyai pemain tengah, penyerang, pemain kreatif seperti itu. 

"Kami sudah lama tidak memilikinya pemain yang memiliki sentuhan seperti Gazza, dia tergolong dalam jenis pemain seperti itu. 

"Ya, dia kadang-kadang boleh mengecewakan tetapi dia telah membuktikannya sekarang. Dia mempunyai produk akhir, dia mampu melakukan penyudah, dia mampu mencipta gerakan gol dan ia dibuktikan melaui jaringan Dominic Calvert-Lewin.

"Jadi, saya fikir dia adalah kelebihan utama pasukan. Dia harus mendapat kepercayaan pengurus dan itu adalah perkara yang paling penting. Jika dia dapat mencapainya maka dia perlu berada dalam pasukan England kerana dengan pemain yang bagus di sekelilingnya, dia mampu menjadi pemain yang lebih baik lagi."

Namun, McClaren berasakan Grealish akan berdepan cabaran untuk mendapatkan tempat utama terutama sebaik penyerang Manchester City, Sterling, kembali cergas memandangkan dia merupakan pilihan Southgate di posisi serangan.

"Sayangnya, tidak (saya rasa dia bukan dalam perancangan utama pasukan)," tambahnya. 

"Ini kerana formasi 3-4-3 atau 4-3-3 yang diterapkan Gareth memerlukan permainan dilebarkan. 

"Dia cenderung kepada Jadon Sancho, Sterling, Marcus Rashford, Mason Greenwood -- dia menuntut larian kencang.

"Jack pula tidak mempunyai kepantasan, dia memiliki kemampuan mengawal bola, mengatasi pemain lawan, mempunyai visi hantaran, tidak meghilangkan bola jadi dia adalah pemain yang berbeza.

"Jack akan berguna jika berada di bangku simpanan dan ketika anda ketinggalan 0-1 atau kami perlu memenangi permainan, masukkannya kerana dia boleh mengucar-ngacirkan pertahanan di mana-mana posisi. 

"Dia akan menimbulkan masalah, jadi dia adalah aset yang luar biasa untuk dimiliki di bangku simpanan atau dalam skuad utama. Tetapi perjalanannya masih panjang untuk Jack Grealish menjadi pemain tetap England, masih banyak usaha yang harus dilakukanya."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen