Leicester bukan pilihan Ancelotti -- Clement 

Oleh Penulis Jemputan 20 Oktober 2017 86
Leicester bukan pilihan Ancelotti -- Clement 
Spekulasi yang mengelilingi Carlo Ancelotti dan kekosongan jawatan Leicester City tidak mungkin dapat membuahkan hasil, demikian pendapat ketua jurulatih Swansea City, Paul Clement.

The Foxes, yang bergelut dalam zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas hanya mencatat satu kemenangan daripada lapan perlawanan, memecat Craig Shakespeare minggu ini dan Michael Appleton dilantik sebagai pengendali sementara menjelang kunjungan ke Swans, Sabtu ini.

Khabar angin mulai bertiup mengenai Ancelotti -- yang dipecat Bayern Munich bulan lalu selepas kekalahan 3-0 dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL) kepada Paris Saint-Germain (PSG) -- mungkin calon sesuai untuk mengambil alih jawatan di Stadium King Power.

Namun, Clement yang pernah bekerja di bawah Ancelotti di Chelsea, PSG, Real Madrid dan Bayern, percaya pengurus Itali itu akan terus menikmati istirahatnya daripada bola sepak sehingga musim 2018-19.

"Kali terakhir saya bercakap dengannya, dia berkata dia mahu mengambil masa dan ingin mengendalikan kelab lain lagi pada musim panas akan datang. Saya tidak nampak kenapa ia akan berubah," kata Clement dalam sidang media.

"Dia akan berehat untuk baki tahun ini, baik untuk dia juga."

Clement bersimpati dengan nasib Shakespeare tetapi dia berasakan pemecatan Frank de Boer oleh Crystal Palace merupakan kejutan yang lebih besar.

"Sayang sekali, apabila seorang rakan pengurus kehilangan pekerjaannya. Kita semua tahu tekanan yang dihadapi," tambahnya. 

"Dia ( Shakespeare) bukan hanya sebagai pengurus pada akhir musim lalu, malah memainkan peranan sebagai pembantu di belakang tabir untuk membantu pasukan itu menjadi juara.

"Dia sememangnya berhak kerana berjaya membawa pasukan itu dengan memenangi lima perlawanan pertamanya musim lalu selain beraksi baik dalam UCL. 

"Ia menyedihkan kerana dia dihakimi dalam lapan perlawanan dan mereka memutuskan untuk membuangnya. Semoga dia berjaya dan saya berharap dia akan memikul jawatan di tempat lain tidak lama lagi.

"Apa yang lebih mengejutkan adalah perubahan Frank De Boer selepas empat perlawanan. Ia masih tempoh masa yang singkat untuk membuat keputusan bahawa seseorang itu tidak cukup baik untuk memacu pasukannya," katanya lagi.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen