Bintang Los Angeles Lakers dan sebahagian daripada pemilik Liverpool, LeBron James, meraikan kemenangan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang diraih The Reds.

Kelab dari Merseyside itu mengakhiri penantian selama 30 tahun untuk dinobatkan sebagai juara EPL hasil kekalahan Manchester City 1-2 awal pagi tadi.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu muncul pasukan Anfield pertama yang memenangi mahkota liga sejak 1990 dengan baki tujuh perlawanan musim ini.

Juara NBA tiga kali, James, yang membeli saham minoriti di Liverpool pada 2011, memberi reaksi terhadap kejayaan kelab itu melalui media sosial.

Liverpool -- yang memenangi 28 daripada 31 perlawanan liga musim 2019-20 -- meraikan satu lagi gelaran selepas memenangi Liga Juara-Juara (UCL) musim lalu.

Ia juga membuktikan tindakan tepat pemilik, Fenway Sports Group, yang mengambil alih Liverpool pada 2010.

Pemilik Prinsipal Liverpool, John Henry, menulis di Twitter: "Musim ini sudah lama dinanti-nantikan dan demi kepercayaan Liverpool.

"Ini merupakan tahun dengan kejayaan luar biasa dan kemuncak malam ini menerusi gelaran Liga Perdana.

"Dunia telah menyaksikan tekad tinggi kelab ini di atas padang dalam setiap perlawanan -- persiapan, tekad dan gabungan bakat mereka telah menghasilkan satu prestasi terhebat dalam liga yang belum pernah dipamerkan dalam sejarah mana-mana negara.



"Selain memenangi kejuaraan Eropah, Piala Super dan Piala Dunia Kelab -- pencapaian ini membawa kepada kelegaan dan kegembiraan kepada ramai pihak dalam tahun yang penuh tragedi ini. LFC telah memberikan persembahan indah yang pernah disaksikan.

"Seperti yang dikatakan, 'Kami adalah Liverpool.' Anda, penyokongnya juga adalah Liverpool dalam setiap aspek dan anda terus memacu kelab ini -- sebuah kelab bersejarah yang kembali menempa sejarah."