Lazio tidak sabar dapatkan sentuhan Pereira 

Oleh Shaiful Shamsudin 29 September 2020 348
Lazio tidak sabar dapatkan sentuhan Pereira 
Pengurus Lazio, Simone Inzaghi, memuji Andreas Pereira sebagai pemain yang berkualiti tatkala pemain tengah Manchester United itu semakin hampir ke Serie A.

Laporan di Itali menunjukkan bahawa Lazio akan berusaha menandatangani Pereira secara pinjaman dengan pilihan pembelian tetap selepas gagal mendapatkan sentuhan David Silva.

Pereira, yang berada di United sejak berusia 15 tahun, kurang dipedulikan oleh pengurus, Ole Gunnar Solskjaer, sementara kedatangan muka baru, Donny van de Beek, semakin membatasi peluangnya merebut kesebelasan utama. 

Pereira akan menjalani pemeriksaan perubatan sebelum mengesahkan perpindahannya ke Stadium Olimpico dan Inzaghi teruja dengan prospek itu. 




"Saya mengenalinya, dia seorang pemain yang berkualiti dan memberi sumbangan besar kepad akami," kata pengurus itu menerusi Tuttomercatoweb, malam tadi.

"Buat masa ini, saya enggan bercakap mengenai pemain yang bukan anggota skuad ini. Kami bernasib baik kerana mempunyai (pengarah sukan Lazio, Igli) Tare yang tahu bagaimana untuk bertindak. Kami akan melihat apakah dia mampu memuktamadkan perjanjian ini atau tidak. "

Pereira membuat 40 penampilan musim lalu dengan merekodkan dua gol tetapi bergelut untuk mempamerkan prestasi tekal di bawah kendalian Solskjaer.

Pemain berusia 24 tahun itu memulakan empat perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada 2020 tetapi hanya satu daripadanya memihak United --termasuk tersungkur 0-4 kepada Norwich City Januari lalu.
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen