Pemain Leicester City, Tom Lawrence, menyelesaikan perpindahannya ke Derby County menerusi yuran perpindahan yang dipercayai mencecah GBP7 juta (RM38 juta).

Pemain berusia 23 tahun itu bersetuju dengan kontrak jangka masa panjang bersama kelab Liga Kejuaraan itu, sekaligus mengikut jejak langkah Curtis Davies, Andre Wisdon dan Tom Huddlestone.

Dia dijangka melakukan aksi pertama dalam pertemuan menentang Bolton Wanderers, Sabtu ini.

“Lawrence adalah sasaran utama kami untuk posisi tersebut dan dia ternyata mengharungi musim yang hebat bersama Ipswich tahun lalu,” kata pengurus Derby, Gary Rowett.

“Ia memerlukan tenaga yang banyak untuk diselesaikan dan ramai yang tidak sedar bahawa perpindahan ini melalui proses yang sukar.

“Kami berjaya menyaingi pasukan besar lain untuk mendapatkan khidmatnya dan kami amat teruja,” tambahnya.

Lawrence merupakan pemain daripada akademi Manchester United sebelum ke King Power pada 2014, namun menghabiskan tempoh tiga tahun bersama Rotherham United, Blackburn Rovers, Cardiff City dan Ipswich Town menerusi pinjaman.