Pihak berkuasa England sedang menentukan sama ada wujud korupsi dalam bola sepak negara itu susulan siasatan yang dijalankan oleh Daily Telegraph, kata Persatuan Bola Sepak England (FA).

Beberapa laporan telah diterbitkan akhbar itu minggu lalu termasuk klip video yang menunjukkan ada kemungkinan wujud salah laku yang melibatkan jurulatih dan ejen pemain dalam bola sepak negara itu.

Pihak Polis Bandaraya London mengesahkan minggu lalu bahawa mereka telah mendapat bahan daripada Daily Telegraph.

"FA telah mengadakan pertemuan dengan polis bandaraya London," menurut kenyataan yang dikeluarkan badan bola sepak negara itu.

"Pihak polis mengesahkan bahawa Daily Telegraph telah memberikan segala maklumat dan bahan yang diperlukan dan mereka akan menilai sama ada wujud sebarang tindakan salah laku.

"Kami di FA masih menanti sebarang maklumat dan akan berkongsi sebarang informasi berkaitan."

Laporan dan klip video tersebut telah menyebabkan pengendali England, Sam Allardyce, dilucutkan jawatannya serta-merta setelah mendedahkan cara untuk mengatasi peraturan dan undang-undang bola sepak di negara itu.

Pembantu jurulatih Barnsely, Tommy Wright, turut dibuang susulan wujud klip yang menunjukkan dia menerima bayaran sebanyak GBP5,000 untuk membantu sebuah syarikat yang tidak wujud mengutip keuntungan daripada perpindahan pemain.

Pengendali Queens Park Rangers, Jimmy Floyd Hasselbaink, turut didakwa menerima bayaran GBP55,000, namun dia menafikan sekeras-kerasnya.

Penolong pengurus Southampton, Erik Black, turut dinamakan dalam siasatan tersebut susulan memberitahu pihak media cara untuk merasuah pegawai yang mewakili kelab bawahan liga. Dia bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.