Frank Lampard yakin penyerang simpanan Chelsea mampu mengisi ketiadaan penggempur yang cedera, Tammy Abraham.

Abraham terpaksa diusung keluar dalam babak pertama sewaktu The Blues diikat 2-2 oleh Valencia bagi aksi Liga Juara-Juara Eropah setelah mengalami perlanggaran yang menyebabkan kecederaan di bahagian kiri.

Pemain England itu itu cuba untuk menafikan dia mengalami kecederaan serius selepas perlawanan tersebut tetapi Chelsea mengesahkan penggempur berusia 22 tahun itu tidak akan menyertai kunjungan ke West Ham United.

"Dia mengalami kesakitan, jadi Abraham tidak akan beraksi esok. Kami akan lihat Isnin depan," kata pengendali The Blues, Lampard.

Abraham telah menjaringkan 10 gol dalam 13 perlawanan Liga Perdana Inggeris musim ini, dibandingkan dengan satu gol dalam 12 penampilan buat Michy Batshuayi dan Olivier Giroud walaupun kedua-duanya hanya sekali membarisi kesebelasan utama.

Bagaimanapun, Lampard yakin dua penyerang itu mampu menjalankan tugas sewaktu ketiadaan Abraham.

"Ia permainan berpasukan bagi sepanjang musim," katanya.

"Pemain berlatih dengan gigih tanpa mengira minit permainan yang diraih.

"Setiap hari mereka berusaha dan apabila peluang tiba, mereka bersedia. Jadi, saya yakin dengan mereka."

Ditanya sama ada Batshuayi akan berada dalam kesebelasan utama menentang West Ham, Lampard menambah: "Lihat nanti."