Pengurus Chelsea, Frank Lampard, menegaskan beliau kekal dengan pendirian terhadap skuad muda The Blues berbanding mengetepikan mereka.

Ketika Chelsea digantung daripada melakukan aktiviti perpindahan, Lampard telah dipaksa menggunakan pemain sedia ada dengan memberikan peluang kepada pemain-pemain akademi seperti Mason Mount, Tammy Abraham dan Fikayo Tomori.

Trio itu menggunakan peluang berkenaan sebaik mungkin dengan menghadirkan persembahan berkualiti hingga menerima panggilan menyertai skuad kebangsaan England.

Walaupun Chelsea bebas untuk menandatangani pemain baru pada jendela perpindahan Januari ini selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) mengurangkan hukuman penggantungan perpindahan yang dikenakan ke atas kelab itu sebelum ini, Lampard menegaskan beliau tidak akan mengulangi kesilapan yang dilakukan Jose Mourinho dan membenarkan pemain-pemain muda untuk menjadi pemain bertaraf dunia bersama pasukan lain.

Mourinho menjual Kevin De Bruyne kepada Wolfsburg sementara tidak menggunakan Mohamed Salah dengan sebaik mungkin sebelum dipinjamkan ke Fiorentina dan kemudian ke Roma.

Kedua-dua pemain itu kini dalam kalangan pemain terbaik dunia -- masing-masing bersama Manchester City dan Liverpool.

Lampard berkata, "Saya percaya kepada pemain-pemain muda.

"Saya berasakan persembahan Mount (ketika menang 2-0 ke atas Tottenham, Ahad lalu) sangat baik, Abraham dan Tomori juga cemerlang. Tetapi kita harus bersabar kerana mereka masih lagi muda. Terdapat tempoh yang sukar bakal dihadapi dan mereka perlu belajar daripada pengalaman."