Frank Lampard mengambil pendekatan berhati-hati dengan motivasi memuncak Chelsea menjelang perlawanan getir terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Wolves, malam ini, apabila mengatakan bahawa senarionya adalah sangat berbeza berbanding yang dihadapi rakan sepasukannya dalam musim 2002-03.

The Blues hanya memerlukan satu mata dalam aksi di Stamford Bridge malam ini untuk menjamin kelompok empat teratas liga dan meraih slot Liga Juara-Juara (UCL) di bawah musim sulung kendaliannya selain pertemuan perlawanan akhir Piala FA menentang Arsenal.

Ini sebagai petanda pencapaian yang menarik buat kelab kota London itu yang dikenakan larangan perpindahan ketika bekas pemain tengah berkenaan tiba, sekali gus mendorongnya mengetengahkan beberapa tonggak muda berpotensi kelab itu.

Ketika memberi pandangannya kepada wartawan semalam, Lampard mengungkit situasi 2003 yang menyaksikan Chelsea menundukkan Liverpool untuk meraih tiket UCL pada hari terakhir liga.

Ketika itu, tampuk pengurusan Chelsea beberapa bulan lagi di ambang pengambilalihan Roman Abramovich yang mengubah perjalanan sejarahnya.

Lampard mengingatkan bagaimana pasukan itu menerima ucapan daripada seorang jeneral tentera dalam situasi berkenaan tetapi menganggap pendekatan sedemikian tidak diperlukan ketika ini.

"Ia cukup mengejutkan, saya rasa kerana dalam kehidupan sebagai pemain, kami berusaha untuk berjaya tetapi anda juga sedar bahawa kami bernasib baik untuk dapat melakukan perkara yang kami sedang buat ini, mewakili kelab seperti Chelsea di mana kami semua menikmatinya dan kami berasa sangat bangga melakukannya," katanya.

"Dan apabila anda mendapat tahu perniagaan kelab anda sedang dalam kesukaran atau membabitkan isu pentadbiran, ia adalah masalah besar.



"Saya seronok beraksi untuk Chelsea kerana kami semua juga begitu. Kami mempunyai sekumpulan pemain muda yang baik dan beberapa pemain berpengalaman, ia satu idea yang mungkin boleh menjana satu permainan yang amat sukar ditangani.

"Tentunya ia sangat memberi inspirasi dan ceritanya berakhir dengan baik, jadi adalah hebat kami berjaya menghasilkan keputusan yang kami perlukan.

"Saya masih ingat lagi ketika seorang jeneral tentera mengunjungi hotel penginapan untuk bercakap dengan kami apabila beliau memberi ucapan motivasi yang sebenarnya sangat bagus.

"Kemudian kami turun beraksi jadi ia adalah hari besar buat Chelsea secara keseluruhannya dan sesuatu yang sangat menarik untuk menjadi sebahagian daripadanya.

"Ini adalah salah satu pengalaman besar dalam hidup saya untuk memahami apa erti kemajuan.

"Saya rasa itulah keseimbangannya (daripada segi memotivasikan pemain) atas apa yang anda perjuangkan dan kami semua mempunyai cara tersendiri untuk melakukannya.

"Pengalaman saya berdasarkan bilakah ia akan menjadi kenyataan atau ketika ia boleh dianggap dilakukan pada saat yang tepat.



"Sekiranya anda berusaha terlalu keras untuk mengusahakan sesuatu, terlalu memotivasi atau bertindak di luar dugaan, saya rasa anda harus berhati-hati.

"Ia kaedah yang sangat baik ketika itu untuk menjemput seorang jeneral tentera.

"Ketika kami beraksi dalam final UCL di samping (Roberto) Di Matteo pula, kami memaparkan rakaman-rakaman anak-anak kami yang mengatakan, 'semoga berjaya' dan, 'kami mencintaimu' jadi semua perkara itu merupakan nada yang sama sekali berbeza.

"Oleh itu, ia membuktikan kepada anda tentang bagaimana ia berfungsi. Kami tidaklah dalam situasi seperti yang saya sebutkan sebelum ini."