Frank Lampard enggan terbawa-bawa dengan spekulasi yang mengaitkan dirinya dengan jawatan pengurus Chelsea selepas pasukannya, Derby County, tewas 1-2 kepada Aston Villa dalam pusingan 'play-off' ke Liga Perdana Inggeris, malam tadi.

Legenda The Blues, Lampard, sedang hangat dikaitkan untuk kembali ke Stamford Bridge bagi menggantikan Maurizio Sarri, yang berkemungkinan akan menyertai Juventus untuk menggantikan Massimiliano Allegri, yang mengundur diri secara mengejut.

Lampard, yang musim pertamanya sebagai pengurus berakhir dengan kekecewaan selepas tewas 1-2 kepada Villa di Stadium Wembley, tidak akan terbawa-bawa dengan spekulasi itu dengan berkata dia akan berbincang dengan pemilik The Rams, Mel Morris, mengenai masa depannya dalam beberapa hari lagi.

"Saya tidak berminat dengan spekulasi.

"Saya akan duduk berbincang dengan Mel Morris dalam beberapa hari lagi.

"Saya mempunyai kontrak dua tahun dan saya gembira untuk bekerja di sini.

"Selepas tahun pertama dan kesempatan yang diberikan kelab ini, adalah penting untuk semua pihak tahu mengenai keterujaan saya.

"Jadi, di situlah saya.

"Saya akan berhibur malam ini dan menikmati beberapa cawan bir dengan pemain dan pegawai.

"Selepas itu, kami akan berbincang tentang hala tuju kami selepas ini," katanya.

Sementara itu, kemenangan Villa memastikan mereka menamatkan tempoh tiga tahun dalam Liga Kejuaraan dengan pengendali pasukan, Dean Smith, percaya pasukan itu kini berada di tempat yang sepatutnya.

"Potensi yang dimiliki kelab ini amat besar.

"Saya ditanya tentang apa yang saya rasa ketika ini? Saya berasakan inilah perasaan yang sepatutnya.

"Aston Villa sepatutnya berada dalam Liga Perdana.

"Saya berasakan berdasarkan sejarah bola sepak, saiz kelab bola sepak dan jumlah penyokong yang pasukan ini miliki, ia sepatutnya adalah pasukan Liga Perdana.

"Ia bukanlah tentang apa yang saya katakan kepada penonton.

"Ia adalah sejarah yang membuktikan kepada anda.

"Namun, malangnya, kami berdepan beberapa tahun yang sukar ketika kami cuba kembali ke Liga Perdana Inggeris.

"Pemain dan pemilik layak memiliki apa yang akan mereka miliki.

"Potensi dengan pemilik yang kami ada amat besar," katanya.