Chelsea mungkin telah menjual David Luiz kepada seteru London, Arsenal, musim ini tetapi pengendali The Blues, Frank Lampard, berkata dia akan sentiasa menghormati pertahanan Brazil itu yang pernah beraksi di Stamford Bridge.

Bek tengah, Luiz, bakal berdepan Chelsea buat kali pertama sejak dia meninggalkan kelab itu apabila anak buah Lampard bertandang ke Emirates tatkala Mikel Arteta bakal mengharungi aksi pertama sejak menguruskan The Gunners di laman sendiri malam ini.

Pengendali Arsenal sebelum ini, Unai Emery, membawa masuk Luiz ke Emirates, Ogos lalu tatkala pertahanan berusia 32 tahun itu dijual sebulan selepas Lampard mengambil-alih Chelsea.

Kehadiran Fikayo Tomori -- yang meraih penampilan pertama bersama England bulan lalu -- serta prestasi Kurt Zouma membuatkan Chelsea tiada sebab untuk mengekalkan Luiz walaupun bekas rakan sepasukannya, Lampard, tidak mahu menjelaskan apa-apa menjelang pertemuan dua kelab London itu.

"Apa yang saya tidak mahu lakukan adalah ia melibatkan persoalan peribadi sebelum perlawanan menentang pemain yang saya hormat dan pernah beraksi bersama," katanya dalam sidang media apabila ditanya mengenai penjualan Luiz.

"Jika anda melihat pertahanan serta kehadiran Tomori, jelas sekali ia satu penambahan buat kami tetapi satu keputusan dibuat dan apabila saya di sini, banyak lagi tindakan yang akan dibuat dengan cara berbeza.

"Saya mengucapkan selamat maju jaya apabila Luiz meninggalkan pasukan. Dia sebahagian daripada skuad yang memenangi Liga Juara-Juara Eropah, beraksi dengan kecederaan paha ketika final, saya tahu.

"Dia memastikan dirinya cergas ketika tertekan dengan kecederaan dan saya akan sentiasa hormati situasi itu dan dia terus mara."

Luiz dan Lampard berdepan pengendali Arsenal, Arteta, ketika individu dari Sepanyol itu beraksi selaku pemain.

Arteta telah menerima jawatan ketua jurulatih pertama bersama The Gunners dan Lampard berkata dia sememangnya ditakdirkan untuk jawatan itu.

"Dia seorang pemain bagus, bijak dan sangat teknikal," tambah pengurus Chelsea itu.

"Ditakdirkan menjadi ketua walaupun tidak menunjukkannya tetapi ketua dalam setiap pasukan yang diwakilinya. Dia tampak sesuai dengan pengurusan.

"Saya mengucapkan selamat untuknya tetapi bukan untuk malam ini. Namun, saya menghantar ucapan selamat untuknya kerana apabila anda melihat seorang pengurus baru menerima jawatan itu, saya faham tekanan yang dihadapi serta keinginan untuk memberikan yang terbaik. Secara peribadi, saya ucapkan selamat maju jaya."


Editor: Nafis Abdullah