N'Golo Kante akan terlepas perlawanan separuh akhir Piala FA di antara Chelsea dan Manchester United di Stadium Wembley awal pagi Isnin ini.

Kante mengalami kecederaan paha ketika menewaskan Watford 3-0 dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dua minggu lalu dan Frank Lampard mendedahkan bahawa pemain tengahnya itu belum bersedia untuk beraksi di Wembley.

Pengurus skuad The Blues itu berkata beberapa pemain lain turut berada dalam pemantauan untuk diturunkan menentang United.

Dia berkata: "N'Golo Kante masih belum cukup cergas untuk perlawanan itu, dia belum bersedia, jadi dia tidak tersenarai.

"Selain itu, kami memiliki beberapa pemain yang mengalami sedikit ketidakselesaan, di mana saya akan memantau keadaan mereka sepanjang 24 jam ini dan kemudian, kami sudah bersedia untuk beraksi," katanya.

Lampard sedar ancaman yang akan dibawa United selaku pasukan yang tidak pernah tewas dalam 19 perlawanan terakhir dan seteru mereka dalam merebut empat slot teratas EPL.

"Kami sedar mereka bermain dengan baik, mereka memiliki tiga penyerang yang kuat, mungkin tiga penyerang terkuat di negara ini daripada segi nombor.

"Amat jelas (Bruno) Fernandes telah memberikan kelainan yang besar, jadi anda dapat lihat kekuatan pasukan mereka melalui kualiti individu.

"Kami perlu yakin dengan diri kami, menghadapi ancaman mereka dan hanya risau dengan diri kami," katanya.

Lampard turut mencabar pemainnya untuk meraih peluang memenang trofi dalam musim pertamanya di Stamdrod Bridge.

"Dengan mengambil kira di mana kami berada, kami berada di separuh akhir, kami tahu apa yang sedang menanti kami.

"Saingan liga sememangnya besar tetapi pada ketika ini anda hanya ada tinggal dua perlawanan dan kami perlu membuat yang terbaik untuk mencuba melakukannya.

"Kelab seperti Chelsea sentiasa mahu memenangi trofi seperti ini. Itulah yang telah kami lakukan dengan amat baik dalam era moden ini.

Sudah pasti ia berasa agak berbeza tahun ini disebabkan keadaan yang berlaku musim ini tetapi kami berpeluang dan ia terpulang kepada pemain untuk memberikan yang terbaik.

"Kami akan berdepan pasukan yang baik, mereka dalam prestasi yang baik dan sesiapa sahaja yang menanti kami di final adalah pasukan yang bagus, jadi tugas ini perlu diselesaikan," tambahnya.