Lampard pertahan Rudiger daripada dakwaan Mourinho

Oleh Penulis Jemputan 23 Disember 2019 2177
Lampard pertahan Rudiger daripada dakwaan Mourinho
TOTTENHAM HOTSPUR 0 CHELSEA 2

Frank Lampard tidak berminat untuk melayan karenah Jose Mourinho yang mendakwa Antonio Rudiger menjadi punca Son Heung-min dibuang padang ketika Chelsea menewaskan Tottenham Hotspur 2-0 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di gelanggang lawan awal pagi tadi.


Aksi di Stadium Tottenham Hotspur itu menyaksikan seorang anak didik menewaskan mentornya apabila dua gol Willian dalam babak pertama membuktikan betapa Chelsea yang dikendalikan Lampard lebih gah berbanding skuad bimbingan Mourinho, Spurs.

Perlawanan itu dicemari apabila Rudiger melaporkan kepada pegawai perlawanan bahawa dia mendengar ejekan perkauman dari tempat duduk penyokong dalam babak kedua dan Spurs berjanji akan mengambil tindakan keras terhadap mana-mana individu yang didapati bersalah.

Walaupun Lampard dan Mourinho sebulat suara mengecam satu lagi episod duka bola sepak British itu,  mereka tidak bersependapat mengenai insiden melibatkan Rudiger dan Heung-min, yang menyaksikan penyerang Spurs itu dibuang padang selepas penilaian video bantuan pengadil (VAR).

Heung-min memberikan reaksi menendang selepas dijatuhkah Rudiger, yang Mourinho menyindirnya dengan berkata pertahanan tengah Jerman itu mungkin mengalami 'patah rusuk' dalam sidang media selepas perlawanan.

"Di beberapa negara, seperti negara saya, dalam budaya kami, kami menggelarkannya sebagai pemain yang bijak," kata pengurus berbangsa Portugis itu.

"Tetapi di negara ini, dan salah satu sebab saya jatuh cinta kepada negara ini pada 2004, kami tidak memanggil mereka bijak, kami memanggil mereka panggilan lain yang saya tidak sanggup untuk menyebutnya."

Lampard, bagaimanapun, berasakan usul yang dikemukakan Mourinho itu tidak cukup kukuh.

"Ia kad merah, saya tidak tahu mengapa dia mahu menafikannya lagi.

"Saya fikir Son adalah pemain yang baik dan saya tidak mengenalinya.

"Daripada pandangan luar, dia kelihatan seperti seorang yang baik.

"Adakalanya, dalam bola sepak, anda melakukan tindakan mengikut naluri.

"Ia terjadi, ia seperti tindakan refleks.

"Mungkin sesetengah masa di mana anda sedang melalui keadaan yang amat sukar dan segala-galanya tidak memihak anda.

"Saya fikir itulah yang berlaku.

"Saya tidak akan mengulas mengenai bagaimana Toni Rudiger menghadapinya," katanya.

Bagaimanapun, Lampard menegaskan rasa hormatnya terhadap Mourinho, yang membimbingnya sewaktu bergelar pemain di Stamford Bridge, tidak akan berubah.

"Saya fikir untuk menentang pengurus yang saya amat hormati sejak saya bergelar pemain dan dengan apa yang dilakukannya dalam perlawanan dan saya memenanginya, ia amat jelas membuatkan saya berasa baik.

"Dia berkata kepada saya sebelum perlawanan mengenai betapa dia menyayangi saya dan mahu menewaskan saya.

"Saya amat memahaminya dan itu juga yang saya mahukan dalam perlawanan ini.

"Ia tidak akan mengubahnya walaupun jika kami menghadapi ketegangan sepanjang 90 minit, di mana kami tidak menghadapinya.

"Apa yang telah Jose lakukan dalam kariernya dan apa yang telah dilakukan untuk saya sewaktu bergelar pemain bermakna saya amat menghormatinya," katanya lagi.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen