Frank Lampard mengakui bahawa Chelsea telah diberikan pengajaran oleh Manchester City awal pagi tadi tetapi menegaskan bahawa semua pihak perlu bersabar ketika dia sedang membina pasukan yang lebih kuat.

Lawan kendalian Pep Guardiola itu mencatatkan kemenangan 3-1 di Stamford Bridge dengan Ilkay Gundogan, Phil Foden dan Kevin De Bruyne menemui sasaran dalam babak pertama biarpun pasukan itu kehilangan sebahagian besar pemain yang dijangkiti koronavirus.

Chelsea, yang memperoleh jaringan sagu hati menerusi Callum Hudson-Odoi dalam waktu kecederaan babak kedua, hanya mampu menjana dua percubaan tepat sepanjang perlawanan itu dan penjaga gol City, Zack Steffen, yang melakukan penampilan pertama dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), tidak berdepan sebarang ancaman.

The Blues kini tewas empat daripada enam perlawanan terakhir, jumlah sama dalam 23 perlawanan mereka.

Mereka mengumpulkan 26 mata daripada 17 perlawanan liga musim 2020-21, kurang tiga mata berbanding yang dilakukan mereka di peringkat sama musim lalu dan mereka tidak pernah menduduki tempat lebih buruk daripada tangga keenam sepanjang di peringkat itu.

Dengan dua pasukan teratas, Liverpool dan Manchester United, berkelebihan tujuh mata dan satu perlawanan dalam tangan, tekanan semakin memuncak buat Lampard, yang pasukannya membelanjakan lebih daripada £220 juta (RM1.2 bilion) dalam jendela perpindahan lalu.

Dengan mengakui pasukannya tidak cukup bagus sepanjang babak pertama, Lampard percaya bahawa dia memerlukan masa untuk meletakkan Chelsea setaraf dengan City dan juara bertahan, Liverpool.

"Untuk 10 minit, kami bermain dengan baik, kemudian mereka mula bermain dan kami dibolosi dua gol muda, gol yang amat mudah. Saya rasa ia menyentap kami dan saya rasa kami tidak memberikan reaksi seperti yang saya mahukan," katanya kepada Sky Sports.

"Kami sedar mereka beraksi tanpa penyerang sebenar, jadi kami perlu memastikan tidak memberikan mereka ruang. Kami membenarkan ruang buat De Bruyne dalam permainan, dan (Bernardo) Silva, dan Gundogan, ketika dia mempunyai peluang untuk melakukan percubaan pertama.

"Jadi, benar, ia satu pembelajaran serius dalam babak pertama, perwatakan yang bagus dalam babak kedua tetapi padahnya sudah berlaku. Tahap permainan, anda bercakap mengenai De Bruyne, saya sedar dia berada di sini ketika dia masih remaja dan memujinya. Dia pergi dan kemudian kembali dan sekarang, dia Kevin De Bruyne terbilang.

"Kemudian anda boleh pergi ke pasukan mereka dan bercakap mengenainya dan realitinya buat kami, dan kerana itu saya katakan pada awal musim ini, sebulan lalu, semua orang katakan 'kami boleh memenangi liga', saya amat pasti dengan fakta itu, dengan kedudukan kami, daripada segi penggantungan (perpindahan), daripada segi membina dan di mana kedudukan kami sebagai satu pasukan, daripada segi pemain muda, terdapat tempoh yang memeritkan yang akan kami lalui sebagai sebuah kelab dan individu.

"Ia babak pertama yang memeritkan. Kami perlu lebih bagus ketika menerima bola di ruang sempit, kami perlu memahaminya, apabila tekanan datang, anda perlu menghadapinya, atau tekanan itu akan terlepas. Apabila pasukan memberikan anda masalah dalam padang, seperti yang kita bincangkan sebelum perlawanan ini, ia perlu dihadapi di dalam permainan. Dalam babak pertama, kami tidak melakukannya. Dalam babak kedua, kami lebih baik tetapi ia sudah terlambat," katanya.

Mengulas lanjut, Lampard menambah: "Saya tidak bergantung kepada pemain muda (sebagai alasan) kerana saya fikir beberapa pemain muda benar-benar menyerlah. Saya fikir Mason Mount memperlihatkannya dalam babak kedua, Billy Gilmour, apabila diturunkan, Callum diturunkan dan mendapatkan gol, jadi isunya bukan mengenai pemain muda dalam pasukan ini. Ia hanya realiti seperti yang saya katakan sebelum ini.

"Buat masa ini, kami berada dalam waku, ada lima atau enam perlawanan yang tidak digemari mana-mana kami. Saya fikir jika anda melihat rejim tahun pertama City atau Liverpool, anda perlu melihat perjuangan mereka. Ia menyaksikan anda perlu menilai perlawanan ini dan melihat apa yang anda boleh jadikan lebih baik."