Frank Lampard tidak pernah bercadang untuk mengelak perang saraf yang dilancarkan bekas pengurusnya, Jose Mourinho, ketika dua pasukan yang dalam keyakinan tinggi, Chelsea dan Tottenham, bakal berentap awal pagi esok.

Bekas pemain tengah itu merupakan watak penting di bawah tempoh cemerlang Mourinho di Stamford Bridge.

Beraksi di bawah pengendali Portugis itu, Lampard memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Piala Liga Inggeris (EFL) sebanyak dua kali sementara Piala FA sekali.

Namun, kedua-dua sosok itu sempat bercakaran ketika Spurs mengatasi Chelsea dalam Piala EFL September lalu dan Mourinho juga sempat melabel kaedah Lampard adalah serupa dengan bekas pengurus, Antonio Conte, selepas kekalahan 0-2 Tottenham pada Disember tahun lalu.

Ketika ditanya apakah dia fikir mampu mengelak kecenderungan permainan minda Mourinho itu, Lampard berkata dalam sidang akhbar: "Tidak, saya tidak terkejut dengan apa-apa pun dalam bidang pengurusan ini memandangkan kami semua mempunyai tugas yang serupa dan kami semua perlu menghadiri sidang media. Kita semua mempunyai keperibadian masing-masing.

"Saya menghormati Jose sebagai pengurus; saya tidak melakukan kesalahan terhadap sistem (ulasan mengenai) Antonio Conte atau apa sahaja -- saya menerapkan pendekatan yang jauh berbeza dengan Conte.

"Saya amat menghormati Jose, saya tidak suka bertengkar."




Tottenham akan melakukan perjalanan singkat ke Stamford Bridge untuk mengekalkan penguasaan EPL susulan kemenangan 2-0 ke atas Manchester City sambil Chelsea mengekori rapat di tangga ketiga dengan hanya dipisahkan dua mata.

Selepas menewaskan The Citizens, Mourinho mendedahkan pasukannya bukan pencabar gelaran dan Lampard memahami mesej yang cuba disampaikan oleh rakan sejawatnya itu.

"Saya memahami jawapan Jose. Itulah posisi yang seharusnya kami miliki, penanda aras telah ditetapkan oleh Manchester City dan Liverpool dalam dua atau tiga musim lalu," tambah bekas bintang England itu.

"Masih awal daripada segi perlawanan, kami tidak boleh terbawa-bawa. Perjalanan masih jauh, saya memahami kedudukannya.

"Saya rasa Chelsea-Tottenham tetap istimewa atas perseteruan di antara kedua-dua pasukan ini. Saya sering terbabit dalam pertembungan seperti ini.

"Kedudukan baik kami turut menghangatkan lagi perlawanan ini -- kami semua ingin memperjuangkan kedudukan ini."