Frank Lampard gembira dengan reaksi Kepa Arrizabalaga yang sebelum ini disisihkan, tetapi pengurus Chelsea itu enggan mengesahkan sama ada penjaga gol termahal dunia berkenaan akan kembali dalam kesebelasan utama ketika menghadapi Manchester United, awal pagi Selasa ini.

Kepa -- yang ditandatangani dengan harga £71.6 juta (RM386.8j) daripada Athletic Bilbao pada 2018 -- tidak mengikuti rombongan ke Leicester City dua minggu lalu manakala pemain veteran, Willy Caballero, pula diberi peluang mengawal gawang yang menyaksikan perlawanan itu berakhir 2-2.

Ditanya sama ada pilihan nombor satu itu akan kembali bagi mengekang United, Lampard sambil tersenyum memberitahu sidang akhbar: "Saya telah membuat keputusan. Anda akan mengetahuinya kelak."

Beliau menambah: "Dia menunjukkan tindak balas yang baik seperti yang diharapkan. Dia gigih berlatih dan bersikap rendah diri. Saya tidak banyak berbual dengannya minggu ini dan keputusannya terletak di tangan saya."

Apakah tindakan tegas itu sebagai satu peringatan kepada Kepa, Lampard menjawab: "Saya tidak mahu mengatakan sebegitu. Tidak semestinya saya berniat begitu. Selepas bertemu Leicester, saya telah menjelaskan bahawa saya memilih kesebelasan utama atas dasar prestasi semasa, jadi ia hanya satu pilihan pada hari itu.

"Kini saya menyedari bagi posisi penjaga gol, ia lebih daripada itu. Kami tahu peranan mereka sedikit berbeza daripada yang lain tetapi saya mahukan setiap pemain agar bertindak balas dan saya tahu apakah ertinya tersisih.

"Setiap pemain memilikinya. Mungkin Lionel Messi atau Cristiano Ronaldo adalah satu-satunya pemain yang tidak mengalami hal itu. Ketika bergelar pemain, saya juga mengalaminya banyak kali.

Let’s hear what the boss has to say... #CHEMUN pic.twitter.com/DxJZg56HgQ
— Chelsea FC (@ChelseaFC) February 14, 2020

"Ia adalah sebahagian daripada bola sepak dan anda perlu menunjukkan karakter dalam detik-detik seperti itu.

"Saya gembira dengan reaksinya."

Bekas pemain tengah itu mengesahkan Christian Pulisic dan Ruben Loftus-Cheek tidak sempat cergas untuk menghadapi United sementara kelibat Tammy Abraham pula dalam keraguan.

"Tammy masih berasakan kesan daripada kecederaan baru-baru ini," katanya.

"Kami perlu mengelakkannya daripada menjalani latihan selama beberapa hari minggu ini. Dia sudah mula berlatih hari ini (malam tadi).

"Saya menaruh harapan tetapi keadaannya akan dinilai sepanjang hujung minggu ini."


Editor: Shaiful Shamsudin