Frank Lampard menyifatkan karier permulaan Hakim Ziyech di Chelsea sebagai luar biasa selepas sumbangan penyerang sayap itu dalam kemenangan 4-1 ke atas Sheffield United, awal pagi tadi.

The Blues bangkit daripada dibolosi buat pertama kalinya dalam tempoh 459 minit untuk memadam gol David McGoldrick pada minit kesembilan untuk terus menghambat persada Liga Perdana Inggeris (EPL).

Gol daripada Tammy Abraham, Ben Chilwell, Thiago Silva dan Timo Werner memastikan kemenangan buat The Blues untuk satu mata di belakang pendahulu, Southampton, disusuli Liverpool di tempat kedua.

Ziyech terbabit dengan tiga jaringan pasukannya dalam pertembungan di Stamford Bridge itu apabila mencipta dua bantuan gol selain mencipta enam peluang berharga perlawanan.

Bekas produk Ajax itu mencipta peluang paling banyak berbanding mana-mana pemain EPL musim ini, justeru Lampard begitu kagum bagaimana anak buahnya tersebut mampu menyesuaikan diri dengan segera memandangkan saingan Eredivisie musim 2019-20 ditamatkan lebih awal, iaitu April lalu.

"Kami menentang (Ziyech) dalam Liga Juara-Juara (UCL) tahun lalu -- dia pemain handalan," kata Lampard kepada Sky Sports.

"Dia cukup mengagumkan apabila berkesempatan bekerjasama dengannya.

"Liga di Belanda sudah lama berakhir kemudian dia ditimpa kecederaan yang menjejaskan perkembangannya tetapi dia sangat luar biasa.

"Dia akan menjadi pemain penting kepada kami. Saya memerlukan pemain yang mampu menyusup ke tempat lawan dan meningkatkan mutu permainan kami. Ia sukar. Barisan tengah saya sangat bagus."

Pengurus kelab London itu terkesan dengan reaksi pasukannya sebaik ketinggalan, sambil menambahkan: "Sheffield United merupakan pasukan yang sangat mantap.

"Mereka tahu bagaimana memberi tekanan kepada kami. Kami tidak menghadapinya dengan begitu baik tetapi tindak balas kami dalam baki aksi ini sangat tepat."