Frank Lampard kecewa apabila dihalang daripada membawa Chelsea ke tahap berikutnya berikutan pemecatannya tetapi berbangga dengan ketibaan beberapa pemain daripada akademi pasuka itu sepanjang eranya.

Lampard dilucutkan jawatan pengurus Chelsea semalam susulan kemerosotan prestasi skuad The Blues itu, yang kelihatan mampu mencabar kejuaraan pada awal musim ini.

Selepas menduduki tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) susulan menewaskan Leeds United bulan lalu, Chelsea kemudian hanya meraih tujuh mata daripada keseluruhan 24 yang ditawarkan untuk kini ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu liga, Manchester United, dan terpisah lima mata daripada kelompok empat teratas.

Walaupun menewaskan Luton Town dalam Piala FA hujung minggu lalu, Lampard menerima padah daripada kemerosotan itu dengan Thomas Tuchel dijangka akan menggantikan tempatnya.

Lampard beranggapan ketibaan pemain muda seperti Reece James, Mason Mount dan Billy Gilmour sebagai pencapaian terbaiknya sepanjang bergelar pengurus pasukan itu.

"Ia merupakan satu kebanggaan dan penghormatan untuk menguruskan Chelsea, kelab yang menjadi sebahagian besar hidup saya selama ini," kata Lampard dalam satu kenyataan melalui Persatuan Pengurus Liga.

A post shared by Frank Lampard (@franklampard)


"Pertama sekali, saya mahu berterima kasih kepada penyokong di atas sokongan yang luar biasa kepada saya sepanjang 18 bulan ini. Saya harap mereka tahu bertapa ia bermakna buat saya.

"Apabila saya mengambil peranan ini, saya faham akan cabaran yang menanti saya pada waktu sukar bola sepak ketika ini.

"Saya berbangga dengan pencapaian yang saya lakukan dan saya berbangga dengan permain daripada akademi yang melangkah ke pasukan utama dan beraksi dengan amat baik. Mereka adalah masa depan kelab ini.

"Saya kecewa kerana tidak diberikan masa untuk membawa kelab ini ke depan dan ke tahap yang seterusnya musim ini.

"Saya mahu berterima kasih kepada Encik Abramovich, ahli lembaga pengarah, pemain, staf kejurulatihan saya dan semua di kelab ini atas usaha keras dan dedikasi mereka, terutama dalam waktu yang sukar dan mencabar ketika ini.

"Saya mendoakan kejayaan kelab ini pada waktu yang akan datang," katanya.