CHELSEA 3 DERBY COUNTY 2

Pengurus Derby County, Frank Lampard, melabel dirinya sebagai seorang yang bertuah selepas menerima sambutan wira dalam kunjungan pertamanya ke Stamford Bridge selaku pengurus pasukan lawan, awal pagi tadi.


Derby menyajikan aksi menarik sebelum tewas 2-3 kepada Chelsea dalam perlawanan pusingan 16 Piala EFL yang menyaksikan mereka hampir mengulangi kejayaan menewaskan Manchester United ketika pusingan ketiga lalu.

Dua jaringan sendiri dalam 21 minit pertama menyukarkan ujian mereka kali ini dan penyudah jarak dekat Cesc Fabregas sebelum tamat babak pertama memperjelaskan lagi keadaan itu.

Walaupun kehilangan peluang menjejakkan kaki ke peringkat suku akhir, Lampard bagaimanapun teruja dengan sambutan yang diterimanya sebaik tamat perlawanan dan menghargai setiap pujian dan penghargaan yang diberikan kepadanya sejak meninggalkan Stamford Bridge, empat tahun lalu.

"Saya berterima kasih kepada seluruh peminat Chelsea.

"Mereka tahu apa yang saya rasakan terhadap mereka", kata penjaring gol terbanyak sepanjang zaman Chelsea itu kepada Sky Sports.

"Saya seperti dipinggirkan ketika meninggalkan mereka dahulu, namun saya sudah boleh melupakannya kini."

"Saya mempunyai pelbagai kenangan di sini dan untuk kembali menerima sambutan seperti itu membuatkan saya berasa sangat bertuah."

Derby berkemungkinan memenangi perlawanan itu andai dua pertahanan mereka, Fikayo Tomori dan Richard Keogh, tidak menjaringkan gol sendiri di awal saingan.

Jack Marriot dan Martyn Waghorn memberikan tindak balas menarik ke atas dua jaringan tersebut sebelum Fabregas menghasilkan gol kemenangan Chelsea.

"Saya sangat berbangga. Saya langsung tidak kecewa," tambah bekas pemain tengah England itu.

"Pemain Chelsea memuji aksi hari ini.

"Kamu tahu saya menghormati pasukan ini, namun saya berbangga dengan pemain-pemain saya.

"Tomori dan Keogh memaparkan aksi terbaik mereka sepanjang musim ini.

"Saya tidak mahu merungut tentang dua jaringan sendiri itu kerana kesalahan seperti itu sentiasa boleh terjadi."