CHELSEA 3 BURNLEY 0

Frank Lampard berharap N'Golo Kante akan segera pulih daripada kecederaan paha selepas pemain itu tidak disenaraikan ketika Chelsea menewaskan Burnley 3-0 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge lewat malam tadi.


Rakan sepasukan Kante di bahagian tengah, Jorginho, membuka jaringan menerusi sepakan penalti sebelum Tammy Abraham dan Callum Hudson-Odoi melengkapkan kemenangan itu.

Chelsea kekal berada dalam kedudukan untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan dengan kelebihan lima mata di depan pasukan di tangga kelima, Manchester United, dan Lampard sedar akan kepentingan pemain tengah kebangsaan Perancis itu untuk kembali pulih daripada kecederaan.

"Saya harap ia kecederaan jangka pendek. Dia sebenarnya menjalani latihan tetapi menyedari kecederaan itu," kata pengurus Chelsea itu kepada BBC Match of the Day selepas ketiadaan Kante menimbulkan spekulasi perpindahannya ke Real Madrid.

"Ia tidak seteruk yang disangka. Ia sesuatu yang akan kami perhatikan sepanjang minggu depan.

"Kami sedar akan kepentingannya dan dia sudah beraksi dalam banyak perlawanan sepanjang beberapa tahun ini.

"Tahun ini, ia tidak terlalu banyak -- ia sesuatu yang malang buat semua di sini.

"Jadi, kami akan melihat keadaannya dan berharap ia tidak akan berpanjangan," katanya.

Kante terlepas lapan daripada 22 perlawanan EPL musim ini selepas dilanda siri beberapa kecederaan ringan.

Christian Pulisic merupakan seorang lagi mangsa kecederaan ketika sesi latihan di Cobham minggu ini selepas mengalami kecederaan tendon.

Ketiadaan penyerang kebangsaan Amerika Syarikat itu membuka peluang buat Hudson-Odoi untuk memulakan perlawanan dan menjaringkan gol pertamanya dalam liga.

"Callum melakukannya dengan amat baik.

"Kesegeraannya dalam perlawanan, berada di depan, melakukan larian dan menemui pemain lain -- amat positif.

"Terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukannya, dia perlu meneruskannya.

"Kami menyedari bakat yang dimilikinya," tambahnya.



Editor: Muzaffar Musa