Lampard enggan menilai pencapaian sendiri bersama Chelsea

Oleh Fadzrie Hazis 15 Julai 2020 52
Lampard enggan menilai pencapaian sendiri bersama Chelsea
Pengurus Chelsea, Frank Lampard enggan menilai pencapaiannya setakat ini bersama The Blues biarpun ia boleh dianggap baik bagi seorang pengendali muda pada musim pertama dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
 
Chelsea kembali mengukuhkan kedudukan di kelompok empat teratas EPL selepas merakam kemenangan 1-0 ke atas Norwich City dalam aksi pada pagi Rabu di Stamford Bridge, hasil jaringan tunggal Oliver Giroud.


 
“Saya tidak mahu mengukur kemampuan sendiri setakat ini, tetapi biarpun baru musim ini mengendalikan pasukan ia berasa seperti saya sudah lama di sini.
 
“Namun untuk bersaing merebut tempat ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL), saya sedia menerimanya kerana kami berdepan beberapa situasi sukar musim ini tetapi kami mempunyai skuad yang baik.
 
“Kami kini di separuh akhir Piala FA dan terdapat beberapa lagi perlawanan lagi, jadi kami tidak boleh mendabik dada lagi,” kata Lampard ketika temubual pasca perlawanan Chelsea-Norwich bersama Stadium Astro.
 
Mengulas mengenai aksi berdepan Norwich, Lampard akui ia bukan aksi terbaik pasukannya tetapi apa yang penting ialah tiga mata yang diraih.
 
“Pemain menunjukkan perwatakan mereka selepas aksi hambar berdepan Sheffield United sebelum ini.
 
“Saya akui ia bukan aksi seperti saya harapkan tetapi yang penting adalah tiga mata yang kami raih.
 
“Kami akan memperbaik kelemahan bagi memastikan aksi lebih baik selepas ini,” kata Lampard.
 
Dalam pada itu bekas penyerang Chelsea, Chris Sutton yakin Lampard akan menjadi seorang pengurus yang berjaya.
 
“Saya suka Frank kerana dia bersikap realistik dan dia juga seorang pengurus yang dahagakan kejayaan.
 
“Bagi saya Frank akan mengharungi kejayaan sebagai pengurus sebagaimana dia ketika bergelar pemain,” kata Sutton ketika menjadi tetamu siaran langsung aksi Chelsea-Norwich di saluran CH813 Astro Supersport.

Tentang Penulis

Fadzrie Hazis

Komen