Lampard: David Luiz bukan kelemahan Arsenal

Oleh Muzaffar Musa 1 Ogos 2020 1911
Lampard: David Luiz bukan kelemahan Arsenal
Pengurus Chelsea, Frank Lampard, menyedari kualiti yang dimiliki David Luiz dan tidak akan meletakkan pertahanan tengah itu sebagai sasaran kelemahan Arsenal menjelang final Piala FA di Stadium Wembley awal pagi esok.

Pertahanan Brazil itu hampir meninggalkan Arsenal selepas memaparkan aksi buruk ketika tewas 0-3 kepada Manchester City dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) Jun lalu, di mana dia turut dilayangkan kad merah.

Pemain berpengalaman itu kemudian kembali memainkan peranan pentingnya di benteng Arsenal dengan aksi yang lebih tekal sehingga memperoleh lanjutan kontrak selama setahun selepas menyinar ketika menyingkirkan City dalam separuh akhir Piala FA

Sebelum ini, David Luiz juga pernah mewakili Chelsea dan bergandingan dengan Lampard, di mana mereka menjuarai Liga Juara-Juara Eropah dan Piala FA dalam musim 2011-12.

"Saya sememngnya tidak akan (meletakkannya sebagai sasaran kelemahan Arsenal)," kata Lampard dalam sidang media maya.

"Apa yang saya ada buat David hanyalah penghormatan, dia merupakan pemain terbaik kami dalam musim 2012, David merupakan pemain terbaik pada waktu itu.

"Kami sedang bersedia menghadapi Arsenal dengan dia berada dalam pasukan itu. Saya tahu betapa bagusnya dia dan bagaimana pengaruhnya dalam Arsenal," katanya.
 
Lampard menjulang empat trofi Piala FA sepanjang bergelar pemain dan dia berpeluang untuk menambah satu lagi trofi itu dalam kempen pertamanya sebagai pengurus Chelsea.

"Saya amat gembira untuk melakukannya dan jika anda ke final, anda mahu memenanginya," katanya ketika ditanya mengenai nilai memenangi trofi pertama sebagai pengurus.

"Ia pasti sukar, ramai pengurus hebat yang masih belum memenanginya tetapi kini, kami sudah berada di sini dan saya mahu memenanginya."

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen