Frank Lampard menegaskan bahawa dia tidak pernah menaruh harapan kelayakan Liga Juara-Juara (UCL) Chelsea kepada Manchester City yang sebelum ini digantung daripada menyertai kejohanan anjuran Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).

City dijatuhi hukuman denda €30 juta (RM145.3j) dan larangan selama dua tahun dalam saingan Eropah pada Februari lalu atas dakwaan "pelanggaran serius" terhadap peraturan pelesenan kelab dan Kewangan Fair-Play (FFP).

Namun, Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) semalam memihak kepada City selepas rayuan yang dibuat, sekali gus membenarkan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2018-19 itu boleh bersaing dalam kejohanan UEFA musim depan, sementara denda dikurangkan kepada €10j (RM48.4j).

Keputusan CAS itu akan memberi impak besar kepada EPL memandangkan tempat kelima belum cukup untuk kelayakan UCL berikutan The Citizens sedang menguasai tangga kedua.

Dengan kedudukan ketiga dan keempat masih terbuka untuk direbut, bekas bintang England itu tetap santai dengan situasi tersebut.

"Saya semestinya bersikap tidak berpihak kepada sesiapa pun mengenai keputusan CAS itu," katanya kepada wartawan menjelang kunjungan ke Norwich City awal pagi esok.

"Saya tidak tahu banyak mengenai kes itu, saya baru melihat keputusannya pagi ini.

"Saya tidak melihat perkara lain selain perlawanan seterusnya, kami mahu menang."



Tambahnya: "Saya tidak pernah menaruh harapan seperti itu (bergantung kepada pihak lain), kami hanya melihat kepada diri kami sendiri.

"Satu-satunya perhatian saya adalah perlawanan berikutnya. Kami berada di tahap kritikal musim ini. Kami tahu cabaran yang ada di depan kami. Kami harus berusaha menyelesaikan tugas ini.

"Kami menduduki tempat ketiga, nasib kami terletak di tangan sendiri. Pagi ini baru saja menjelaskannya dan kami harus memperjuangkannya."