CHELSEA 0 BOURNEMOUTH 1

Frank Lampard menuntut Chelsea supaya mempamerkan kesegeraan dalam permainan susulan kekalahan keempat dalam lima perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika menentang Bournemouth awal pagi tadi.

Chelsea gagal mengatasi skuad bimbingan Eddie Howe itu -- yang berdepan kekalahan kelima berturut-turut dalam liga -- apabila jarang menguji penjaga gol The Cherries, Aaron Ramsdale, sebelum gol Dan Gosling pada minit ke-84 diputuskan oleh video bantuan pengadil (VAR) walaupun pada awalnya dibatalkan oleh pengadil, Graham Scott.

The Blues akan bertemu bekas pengurus, Jose Mourinho, apabila bakal bertandang ke Tottenham, hujung minggu depan, justeru Lampard menggesa pasukannya agar tidak dibelenggu gemuruh.

"Sekiranya kami tidak berada di tahap terbaik dan jika kami tidak memiliki banyak peluang, maka kami perlu mencari jalan lain," katanya dalam sidang media.

"Kami perlukan kesegeraan dalam permainan," katanya.

"Jelas kami tidak beraksi dengan cukup baik di hadapan penyokong sendiri. Kami mencipta banyak peluang tetapi dibolosi dengan jaringan yang tidak masuk akal. Kami tidak mencipta peluang yang memadai. Penyokong tidak begitu teruja."

Ditanya sama ada dia menyalahkan keputusan itu berkaitan suasana yang kurang memberangsangkan peminat, tambahnya: "Saya tidak menyalahkan penyokong. Saya akan menjadi orang pertama yang mengatakannya tetapi saya tidak akan mengatakannya hari ini. Saya tidak akan menyalahkan penyokong. Tanggungjawab ini perlu digalas oleh pemain.

"Ketika bergelar pemain, selepas tamat perlawanan saya pernah melaluinya di bilik persalinan dan saya tidak akan menjarakkan di antara diri saya dan pemain. Kami mempunyai minggu yang panjang untuk bercuti beberapa hari dan apabila pemain kembali, kami perlu gigih melakukan persiapan bagi menghadapi Tottenham, kami perlu mengakui bahawa pada ketika ini, situasi tidak cukup baik."

Howe gembira dengan tahap persembahan pasukannya sambil berharap keputusan VAR, yang memihak kepada mereka selepas jaringan Gosling itu tetap dibenarkan walaupun bendera ofsaid telah diangkat, boleh bertindak sebagai pemangkin bagi mencatat keputusan yang lebih baik

"Sudah tentu kami memerlukannya," katanya. "Ini adalah permainan terbaik kami. Kami merupakan ancaman sebenar dalam babak kedua.

"Ia adalah satu perkara yang sukar (keputusan VAR), ia berlaku dalam sekelip mata. Saya tidak pasti sekiranya mereka menghentikan permainan, saya fikir ia akan menjadi satu keputusan yang sukar, VAR memakan masa.

"Jadi, kami perlu menunggu sahaja. Kami berharap nasib menyebelahi kami. Kami menghasilkan beberapa gerakan yang hebat."