CHELSEA 2 SHEFFIELD UNITED 2

Frank Lampard, yang tidak berpuas hati, menyedari Chelsea tidak boleh mensia-siakan peluang apabila gagal mengekalkan kelebihan dua gol ketika menentang Sheffield United, malam tadi.


The Blues kelihatan akan meraih kemenangan mudah ke atas pasukan baru Liga Perdana Inggeris itu apabila Tammy Abraham menjaringkan dua gol dalam babak pertama di Stamford Bridge.

Bagaimanapun, Callum Robinson merapatkan jurang pada minit pertama babak kedua dan Chelsea tidak dapat melakukan apa-apa ketika percubaan Lys Mousset terbias ke badan Kurt Zouma untuk The Blades menyamakan kedudukan pada minit ke-89.

"Ia dalam kawalan kami, ia salah kami sendiri kerana kami memberikan mereka jaringan pada minit pertama babak kedua dan ia menjadikan perlawanan ini semakin sukar," kata Lampard, yang pasukannya hanya meraih lima mata daripada empat perlawanan pertama.

"Kami mensia-siakan peluang yang sepatutnya memberikan kami keselesaan.

"Daripada persepsi kami, tiada peluang untuk perlawanan itu berubah sedemikian rupa.

"Kami tidak sepatutnya memberikan mereka peluang untuk bangkit.

"Kami sepatutnya menjauhkan peluang itu daripada mereka.

"Tiada istilah tidak menghormati Sheffield United, mereka adalah pasukan yang baik dan kami memberikan mereka peluang untuk menyakiti kami.

"Kami melakukannya ketika kami sepatutnya sudah menamatkan perlawanan lebih awal.

"Kini, setiap pemain sudah menyedari perkara itu," katanya.

Chelsea mempertaruhkan pemain muda akibat sekatan perpindahan yang dikenakan ke atas kelab itu.

Kesebelasan utama mereka dalam perlawanan itu mempunyai purata umur 24 tahun dan 158 hari, pasukan paling muda yang pernah mereka turunkan dalam perlawanan Liga Perdana, namun Lampard menegaskan ia tidak boleh dijadikan alasan kegagalan Chelsea meraih kemenangan.

"Kami mahu memenangi perlawanan, jadi kemunculan pemain muda adalah satu perkara tetapi memenangi perlawanan untuk Chelsea adalah satu perkara berbeza dan apabila anda mendahului 2-0 dalam babak pertama, anda sepatutnya memenangi perlawanan, ia semudah itu.

"Sudah pasti ia akan menjadi satu proses... kami tahu tentang kemungkinan dengan penggunaan pemain muda, ada saat-saat yang kami perlu bersabar.

"Tetapi kami mempunyai lebih daripada cukup di atas padang untuk memenanginya apabila mendahului 2-0," tambahnya.