Frank Lampard masih belum mahu berpuas hati selepas pasukannya, Chelsea, memaparkan aksi cemerlang untuk membelasah Everton 4-0 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge malam tadi.

Carlo Ancelotti pernah membimbing Chelsea memenangi Liga Perdana dan Piala FA sewaktu berkhidmat selama dua tahun di kelab London itu dan Lampard pada ketika itu merupakan salah seorang pemain tonggaknya.

Namun, kali ini, dia yang membimbing Everton terpaksa akur pasukannya diaibkan Chelsea, yang kini dikendalikan Lampard.

Mason Mount dan Pedro menemui sasaran dalam babak pertama sebelum Willian dan Olivier Giroud menjaringkan gol yang hanya berselang tiga minit dalam babak berikutnya.

Sebelum melakar kemenangan 2-0 ke atas Liverpool dalam pusingan kelima Piala FA, Selasa lalu, Chelsea hanya meraih dua kemenangan daripada lapan perlawanan dalam kesemua kejohanan.

Walaupun skuad The Blues itu sudah kembali ke prestasi asal, Lampard menganggap pasukannya masih belum menemui kemenangan kedua yang boleh memacu kecemerlangan mereka musim ini.

"Saya agak risau untuk memperkatakannya. Dua perlawanan terakhir kelihatan seperti itu tetapi saya cukup berpengalaman untuk mengetahui bahawa kami akan bertandang ka Aston Villa, satu pasukan yang sedang berjuang untuk hidup mereka dan memiliki pemain yang bagus.

"Jadi, kami perlu mengekalkan apa yang kami pamerkan hari ini untuk setiap minggu.

"Benar, kami beraksi baik pada awal musim ini. Selepas itu, kami mula tidak tekal.

"Siapa sahaja yang tidak pernah melaluinya selain daripada Liverpool dalam liga ini?

"Sememangnya saya tidak menerima ketidaktekalan itu tetapi saya memahami proses peralihan ini.

"Namun, kami mempunyai tugas untuk membuktikan bahawa kami boleh menamatkan musim ini dengan kekuatan dan lebih baik," katanya.


Dengan N'Golo Kante dan Mateo Kovacic dilanda kecederaan selain Jorginho juga digantung perlawanan, Billy Gilmour melakukan penampilan pertamanya dalam Liga Perdana di samping Mount dan Ross Barkley di bahagian tengah sebelum dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan.

"Dia menerima bola di kawasan yang sukar di atas padang," kata Lampard mengenai Gilmour.

"Jika anda tidak bergerak dengan cepat, yang pertama anda tidak dapat mengikut rentak permainan kami dan ia akan menurunkan prestasi pasukan.

"Dan yang kedua, jika anda kehilangan bola di kawasan itu, ia amat berbahaya.

"Anda memerlukan keyakinan untuk melakukannya.

"Jorginho memilikinya, begitu juga Billy.

"Apa perkara yang paling menyeronokkan tentang Billy ialah dia menunjukkan permainan seperti itu dalam babak pertama.

"Tetapi apabila dia mula melangkah dan bermain lebih ke atas dalam babak kedua, dia mula menguasai permainan, tiba di dalam kotak penalti dan bermain di bahagian depan.

"Dia menunjukkan yang dia boleh melakukan kedua-duanya, di mana ia merupakan perkara yang hebat bagi saya ketika saya memikirkan bagaimana pemain tengah sebenar pada ketika ini," katanya lagi.