Frank Lampard mencabar anak buahnya di Chelsea agar terus melonjakkan prestasi mereka musim depan selepas The Blues lolos ke Liga Juara-Juara (UCL) musim depan.

Dalam perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi, Chelsea menundukkan Wolves 2-0 di Stamford Bridge hasil gol pantas daripada Mason Mount dan Olivier Giroud.

Kemenangan itu bermakna pasukan London berkenaan mengesahkan tempat keempat, di belakang Manchester United yang melakar kemenangan 2-0 ke atas Leicester City.

Begitupun, Lampard tidak mahu berpuas hati terhadap pencapaiannya setakat ini dengan Chelsea akan menghadapi Arsenal dalam final Piala FA minggu depan, kemudian kembali mengalihkan perhatian kepada kempen Liga Juara-Juara (UCL) menentang Bayern Munich bulan depan sebelum menghadapi musim baru September depan.




"Saya sangat gembira dan saya tidak mahu memuji diri sendiri," katanya dalam sidang akhbar ketika ditanya apakah erti baginya terhadap kejayaan Chelsea menguasai kelompok empat teratas.

"Banyak kali sudah saya katakan dan ia bukan rahsia lagi. Anda dapat lihat ramai pemain muda dalam skuad ini, jadi ia adalah usaha berpasukan hasil kerjasama kakitangan kejurulatihan dan pemain.

"Saya bangga, tetapi kami ingin mencabar gelaran pada masa akan datang. Kadang-kadang kami tidak tekal.



"Setiap masa saya dan kakitangan kejurulatihan ingin memperbaiki persembahan kami, cabarannya ketika ini adalah untuk melihat apa lagi yang boleh kami lakukan pada musim depan.

"Saya telah belajar sejuta perkara musim ini tetapi saya hanya mahukan kejayaan demi kelab ini. Rasanya kami sudah mempunyai elemen pencapaian tetapi kami akan berdepan perlawanan getir minggu depan."

Pemain baru The Blues, Timo Werner, akan tiba di Stamford Bridge, justeru Lampard yakin pemain antarabangsa Jerman itu akan berasa kagum dengan apa yang disaksikannya.

"Saya harap dia akan melihat sebuah pasukan yang beraksi dengan penuh bersemangat," katanya lagi.

"Dengan detik seperti yang dimiliki Mason Mount selain perkara-perkara yang ingin kami tingkatkan, terdapat banyak bakat dalam skuad ini. Mudah-mudahan ia merupakan gambaran awal yang bagus untuknya."

Walaupun Werner dan Hakim Ziyech dipancing, Pedro pula melakukan penampilan terakhirnya bersama kelab itu apabila menjadi pemain gantian pada lewat permainan awal pagi tadi.

"Pedro telah membuat penampilan terakhirnya bersama kelab ini, tetapi apa yang telah dilakukannya untuk kelab ini adalah sangat istimewa, dia telah mewarnai bilik persalinan," tambahnya.