Pengurus Chelsea, Frank Lampard, menegaskan bahawa dia bukan "klon" Jose Mourinho menjelang kunjungan pasukannya ke laman Tottenham Hotspur awal pagi Isnin ini.

Lampard pernah melalui zaman gemilangnya di bawah kendalian pengurus Spurs itu di Stamford Bridge dengan menjadi tonggak utama ketika meraih dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Pemegang rekod jaringan terbanyak Chelsea itu mula menyertai bidang pengurusan selepas bersara dan dia mengemudi Derby County, yang menewaskan pasukan Mourinho, Manchester United, dalam penentuan sepakan penalti Piala Liga Inggeris (EFL) musim lalu.

Perantis Mourinho itu mengikut jejak gurunya di Chelsea, namun Lampard menegaskan dia seorang yang berbeza.

Ditanya sama ada dia ada megambil sesuatu daripada Mourinho untuk diterapkan dalam karier kejurulatihannya, Lampard berkata: "Tiada satu pun, tiada.

"(Dia seorang) pengurus yang baik, banyak sikap yang baik tetapi saya tidak mahu mencuba dan menjadi klon atau apa-apa sahaja.

"Saya gembira dapat bertemu Jose.

"Bagi saya, untuk berada di bawahnya sewaktu bergelar pemain, dia memberikan pengaruh yang besar terhadap karier saya.

"Untuk berdepan dengannya sewaktu bersama Derby tahun lalu, ia merupakan sesuatu yang besar buat saya.

"Saya sentiasa menghormatinya.

"Perkara lebih besar ialah Chelsea-Tottenham dan perseteruan ini memberikan makna yang besar buat kami.

"Perseteruan adalah apa yang anda rasa mengenai kelab anda.

"Penyokong kami mahukan sesuatu dalam perlawanan itu.

"Apa yang kami rasakan untuk perlawanan itu adalah keghairahan," katanya.

Tottenham meraih 12 daripada 15 mata sejak Mourinho menggantikan Mauricio Pochettino bulan lalu dan Spurs akan memintas Chelsea seandainya mereka mencatatkan kemenangan awal pagi Isnin ini.

Sebaliknya, Chelsea tewas empat daripada lima perlawanan terakhir liga, namun Lampard masih enggan menekan butang panik.

"Kami memiliki semangat yang bagus, kumpulan (pemain) yang bagus.

"Persoalan mula dilontarkan kepada anda, secara dalaman, apabila anda mendapat keputusan yang sukar.

"Amat penting untuk bersemuka dan berlaku jujur sesama sendiri.

"Saya dapat melihat kumpulan yang bagus sewaktu latihan, berlatih bersungguh-sungguh, satu kumpulan yang bersatu.

"Kami memerlukan keputusan yang baik untuk kembali ke laluan yang sepatutnya kerana beberapa keputusan lalu tidak menggembirakan kami.

"Saya pernah melaluinya tahun lalu.

"Setiap pengurus pasti akan melaluinya pada sesuatu tahap.

"Mungkin bukan Jurgen Klopp untuk beberapa tempoh ini.

"Ia lumrah yang kami perlu hadapi.

"Terdapat beberapa perkara yang amat positif, jadi jangan terperangkap dengan perkara negatif daripada beberapa keputusan.

"Kami layak (ke pusingan 16) dalam Liga Juara-Juara Eropah.

"Kami tahu kami boleh melakukan yang lebih baik tetapi kami perlu yakin dan terus melangkah ke depan," tambahnya.