Frank Lampard mengakui dia berminat untuk kembali ke Chelsea, namun tidak tergesa-gesa dalam membuat keputusan mengenai masa depannya.

Pemain berusia 38 tahun itu menjadi ejen bebas selepas meninggalkan pasukan New York City bulan lalu selepas menyinar di liga Amerika Syarikat (MLS).

Lampard membuat kunjungan ke sesi latihan Chelsea pada minggu ini sehingga menimbulkan spekulasi akan kembali ke kelab itu dan pengurus pasukan, Antonio Conte, mengesahkan penjaring terbanyak sepanjang zaman The Blues itu tidak berminat untuk bersara dan beralih ke bidang kejurulatihan.

Biarpun bekas tonggak England itu tenang dalam memutuskan masa depannya, dia berkata peluang untuk kembali ke Stamford Bridge akan sukar ditolak.

"Saya masih menanti tawaran kontrak selama lima tahun yang dikemukakan oleh Chelsea, namun mereka belum melakukannya.

"Kebiasaannya, ia mudah ditawarkan," katanya kepada Sky Sports.

"Apa sahaja yang berlaku, saya akan tetap ke Chelsea, tidak kira sama ada sebagai penonton, namun saya tidak pasti lagi.

"Ia akan menjadi kontrak jangka masa pendek, sama ada saya akan diberi peranan, itu bukan keputusan saya dan saya tidak dapat mengulas lanjut.

"Saya tenang mengenainya kerana ia tempat menarik buat saya. Saya tidak mengambil pusing mengenai karier saya yang berada di penghujung dengan memikirkan, 'apakah yang akan berlaku selepas ini?'

"Andai terdapat tawaran menarik, maka saya akan mengambilnya. Sudah jelas saya berminat ke Chelsea, tapi bukan semuanya menjadi kenyataan.

"Saya akan menikmati perayaan Hari Natal ini bersama keluarga dan membuat keputusan pada Januari nanti sama ada saya akan terus beraksi -- saya mempunyai beberapa pilihan -- atau menamatkan karier saya."