Bekas penyerang Liverpool dan England, Rickie Lambert, mengambil keputusan untuk bersara daripada bola sepak.

Pemain berusia 35 tahun itu tidak terikat dengan mana-man kelab sejak meninggalkan Cardiff City pada Julai lalu.

Lambert telah membuat 11 penampilan untuk England dan menjaringkan tiga gol di samping bermain sekali dalam Piala Dunia pada 2014.

Pada peringkat kelab, dia telah meraih kejayaan bersama Southampton pada 2009 dan 2014, dengan membantu pasukan untuk beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Lambert kemudian menyertai Liverpoo, tetapi bergelut untuk mendapat tempat kesebelasan utama sebelum berhijrah ke West Brom dan Cardiff.

"Saya berasa bertuah kerana terlibat dalam sukan ini selama mana yang mungkin," kata Lambert.

"Terdapat naik turun dalam karier saya tetapi saya telah berkhidmat untuk kelab seperti Southampton dan Liverpool. Bermain untuk England dalam Piala Dunia merupakan sesuatu di luar jangkaan saya.

"Bermain dan menjaringkan gol untuk England merupakan kenangan yang paling membanggakan dan saya akan terus mengingatinya.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada setiap penyokong kelab saya beraksi, terutama sekali kepada Southampton, di mana saya mempamerkan persembahan terbaik saya dan memiliki hubungan yang istimewa dengan kelab ini," katanya.

Lambert yang merancang untuk berehat seketika daripada bola sepak sebelum membuat penampilan semula, pernah menyertai Blackpool, Macclesfield Town, Stockport County, Rochdale dan Bristol Rovers.