Penyerang Arsenal, Alexandre Lacazette, tidak risau walaupun jarang mendapat peluang beraksi dalam kesebelasan utama pasukan, jelas ejennya, David Venditelli.

Lacazette memecahkan rekod perpindahan kelab apabila berhijrah dari Olympique Lyon pada musim panas lalu, namun digugurkan daripada skuad ketika tewas 0-4 di tangan Liverpool sebelum diletakkan di bangku simpanan di Stadium Etihad ketika tunduk 1-3 kepada Manchester City.

Penyerang Perancis itu masuk sebagai pemain gantian dan menjaringkan gol tunggal skuad kendalian Arsene Wenger itu, menjadikan jumlah jaringan enam gol dalam saingan liga musim ini.

Bagaimanapun, Venditelli menegaskan pemainnya tidak begitu memikirkan tentang peluang untuk beraksi.

"Ia tidak begitu merisaukan kerana dia bermain ketika menentang Chelsea. Dia melakukan sembilan penampilan dalam 11 perlawanan, itu yang penting.

"Sudah tentu ia bukan satu perkara yang bagus apabila tiada dalam senarai pemain utama tetapi ia adalah atas dasar perancangan taktikal dan Arsene Wenger telah menjelaskannya.

"Dia sedang belajar. Lacazette perlu tenang dengan keadaan sekeliling. Dia gembira dan Arsenal perlu mempelajari tentang usahanya," ujar Venditelli.

Dia juga mendedahkan Lacazette yang menolak untuk menyertai Paris Saint-Germain (PSG) sebelum ke Emirates, bersedia untuk terus menunggu sebelum menjadi pilihan utama Wenger dalam setiap perlawanan.

"Lacazette mahu beraksi dalam perlawanan besar seperti menentang City dan Liverpool tetapi pengurus telah menjelaskan kepadanya dan segala-galanya tiada masalah.

"Masanya belum tiba tetapi segala-galanya berjalan dengan baik," tambahnya.