Penyerang Arsenal, Alexandre Lacazette, mendedahkan bahawa dia mengadakan rundingan dengan kelabgergasi Perancis, Paris Saint-Germain (PSG), sebelum memilih untuk berpindah ke Liga Perdana.

Lacazette menjadi pemain paling mahal Arsenal menerusi perjanjian dengan Lyon yang dilaporkan bernilai £52.7 juta (RM296 juta) pada Julai lalu.

Pemain Perancis berusia 26 tahun itu, yang telah menjaringkan empat gol dalam tujuh penampilan Liga Perdana, berkata dia boleh kekal di tanah airnya bersama PSG.

"Kami berbincang dengan PSG tetapi saya tahu ia bukan tempat di mana saya mahu pergi. Di Perancis, saya hanya akan bermain untuk Lyon," kata Lacazette kepada RMC Sport.

"PSG boleh membantu saya maju kerana mereka mempunyai pemain besar tetapi saya mahu bermain dalam liga lain."

Arsenal mengharungi permulaan musim yang sukar walaupun skuad Arsene Wenger tidak kalah tujuh perlawanan dalam semua pertandingan sejak tewas 4-0 di Liverpool.

Arsenal berada di tangga kelima dalam Liga Perdana, enam mata di bawah pendahulu, Manchester City, sementara kelab London itu memenangi dua perlawanan pembukaan Liga Europa.

"Saya percaya terhadap gelaran, sama ada dalam Liga Perdana atau dalam Liga Europa," tambah Lacazette.

"Kami mempunyai kumpulan yang besar, semua orang akan bersama, bukan selalu pasukan terbaik yang menang."