Alexandre Lacazette berharap hubungan akrab dengan Antoine Griezmann akan membantunya untuk memujuk pemain antarabangsa Perancis itu menyertai Arsenal.

Griezmann telah dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United dalam jendela perpindahan yang lalu tetapi kemudian menyatakan komitmen serta masa depannya bersama Atletico Madrid dengan menandatangani kontrak jangka panjang.

Terikat dengan kelab Sepanyol itu sehingga tahun 2022, Lacazette mash lagi mahu berusaha untuk memujuk Griezmann untuk berhijrah ke Stadium Emirates pada masa akan datang.

"Kami kawan baik dan sentiasa menikmati saat yang baik," katanya.

"Jika Griezmann melawat saya di London, saya akan memintanya untuk menyertai Arsenal!," katanya.

Pemain berusia 26 tahun itu telah mula menyesuaikan diri dengan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila berjaya menjaringkan empat gol dalam tujuh perlawanan.

"Saya sangat gembira berada di London tetapi cuacanya kurang baik! Saya masih lagi belajar bahasa Inggeris buat masa ini.

"Beza saingan di England dan Perancis adalah kualiti penyerang yang beraksi di sini. Harry Kane, Romelu Lukaku, Sergio Aguero, Gabriel Jesus, Jamie Vardy dan Alvaro Morata. Ia akan menjadi satu cabaran yang sukar untuk saya memenangi kasut emas!"