Pemilik Arsenal, Kroenke Sports & Entertainment (KSE), menegaskan mereka tidak berniat untuk menjual kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Pemilikan keluarga Kroenke menjadi perhatian utama sejak penglibatan The Gunners untuk menganjurkan Liga Super Eropah (ESL) yang diumumkan minggu lalu.

Penyokong Arsenal memprotes Stan Kroenke dan anaknya, Josh, sebelum kekalahan 0-1 kepada Everton dalam pertemuan EPL Sabtu lalu untuk pasukan bimbingan Mikel Arteta itu menduduki tangga ke-10.

Pengasas Spotify, Daniel Ek, berminat untuk mengakhiri pemilikan Kroenke yang amat tidak disenangi peminat dan dia dilaporkan sedang menyiapkan tawaran termasuk pemain hebat Arsenal, Thierry Henry, Dennis Bergkamp dan Patrick Vieira menerusi sebuah konsortium.

Begitupun, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam tadi, KSE menegaskan sebarang usaha itu tidak akan dipertimbangkan.

"Dalam beberapa hari terakhir, kami dikaitkan dengan spekulasi di media mengenai tawaran pengambilalihan yang berpotensi ke atas Arsenal Football Club," menurut kenyataan itu.

"Kami 100 peratus tidak akan berganjak untuk memberikan komitmen buat Arsenal selain tidak akan menjual saham kelab ini. Kami belum menerima sebarang tawaran dan kami tidak akan melayani sebarang tawaran."

Walaupun terperosok di pertengahan liga -- mereka masih berjuang dalam separuh akhir Liga Europa dengan pertemuan pertama menentang Villarreal menjadi agenda utama mereka minggu ini -- KSE juga masih bercita-cita untuk menjulang trofi selepas kejayaan Piala FA musim lalu.

"Cita-cita kami untuk Arsenal ialah terus bersaing untuk memenangi gelaran utama dan fokus kami ialah keperluan berdaya saing di atas padang demi mencapainya," tambah kenyataan itu.