Kenyataan tentang perwatakan sesetengah pemain muda Manchester United daripada Jose Mourinho telah disalah tafsir, kata pengurus berbangsa Portugis itu.

Mourinho ditemu bual oleh bekas pemain Barcelona, Hristo Stoichkov, untuk laman web berbahasa Sepanyol hujung bulan lalu tetapi kenyataannya mula menjadi perhatian sejak semalam.

Dalam sesi itu, Mourinho bercakap tentang kematangan yang kurang dalam kalangan pemain muda bola sepak moden sambil menjadikan Luke Shaw sebagai contoh apabila mendakwa pemain England itu tidak tahu cara untuk bersaing sebelum bekas pengendali Chelsea itu tiba di Old Trafford.

Mourinho juga menamakan Anthony Martial, Jesse Lingard dan Marcus Rashford apabila mendakwa mereka juga kekurangan perwatakan dan personaliti.

Namun, Mourinho tampak tidak gembira untuk mengulas kenyataannya itu semalam sambil berpendapat ia telah disalahertikan sewaktu ditemui dalam sidang media.

"Saya tidak bermain dalam permainan anda," kata Mourinho.

"Saya tidak bermain dengan permainan di luar konteks atau apa yang anda mahu.

"Tiada apa yang perlu saya katakan. Saya tidak kehilangan masa bermain permainan itu. Tolong teruskan dengan soalan seterusnya."

United menuju ke saingan antarabangsa dengan kelompok pemain cedera tatkala Martial, Paul Pogba, Marouane Fellaini dan Romelu Lukaku bergelut dengan tahap kecergasan.

Walaupun Rashford kembali daripada tugas bersama England dengan kecederaan, skuad United tampak semakin pulih sebelum aksi menentang Crystal Palace, hari ini.

"Martial kekal bersama kami, dia tidak menyertai skuad Perancis," tambah Mourinho.

"Pasukan kebangsaan sedar akan masalahnya dan dengan keizinan untuk tinggal di Manchester, dia berusaha keras untuknya.

"Saya suka mencegah kecederaan kerana masalah wujud di sekitar otot yang terlibat.

"Martial bekerja keras dan bersedia untuk aksi hari ini. Adakah dia bersedia untuk bermain dalam tiga perlawanan dalam minggu yang sama? Saya tidak tahu aksi seterusnya paling penting.

"Fellaini juga akan beraksi. Dia kekal di sini, tidak menyertai skuad Belgium setelah beraksi 90 minit dalam perlawanan menentang Manchester City.

"Dia perlukan rehat dan mempersiapkan diri susulan kecederaan yang dialami sebelum ini. Jadi, Fellaini juga semakin baik.

"Pemain lain, iaitu Rashford, kembali dengan sedikit masalah tetapi tetap bersedia, begitu juga dengan Lukaku. Mungkin bersedia dengan sedikit risiko tetapi tetap ada.

"Buat Pogba, kami tahu aksi antarabangsa adalah medan untuknya pulih daripada kecederaan otot, jadi tiada pemain yang tidak boleh disenaraikan. Kami mempunyai kumpulan besar seramai 23 orang untuk dipilih."