Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp, akan mencari jalan menyelesaikan masalah kecederaan yang melanda jentera pertahanan pasukannya walaupun terpaksa berdepan Manchester United dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Anfield, Isnin ini, tanpa kelibat Trent Alexander-Arnold.

Pertahanan kanan itu mengalami kecederaan kaki dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah berdepan Napoli, Rabu lalu, dan akan direhatkan daripada beraksi menentang United.

Keadaan itu menambahkan kegusaran di bahagian pertahanan The Reds selepas dua pertahanan tengah, Joe Gomez dan Joel Matip, turut terpaksa diketepikan.

Gomez mengalami keretakan kaki manakala Matip pula patah tulang selangka.

Kedua-dua pemain itu akan direhatkan hingga tahun depan.

Klopp mendedahkan keadaan Alexander-Arnold tidak begitu serius walaupun sukar mencari pengganti kepada pemain berusia 20 tahun itu.

Apabila ditanya mengenai krisis pertahanan yang dialami pasukannya menjelang pertemuan dengan United, Klopp menjawab: "Tidak, itu adalah situasi yang kami lalui. Krisis hanya tiba jika anda berasakannya.

"Tentang Trent, ia tidaklah terlalu serius seperti yang dihadapi dua pertahanan lain.

"Ia bukan berita tergempar buat anda semua.

"Amat malang sekali, terutama buat Joel.

"Dia kini menjalani rawatan pemulihan, begitu juga Joe.

"Dengan kecederaan Trent, ia tidak baik buat kami.

"Namun, selagi kami mempunyai pemain yang mencukupi, ia tugas kami untuk mencari jalan penyelesaian.

"Kami pasti akan menemui penyelesaian itu hujung minggu ini, namun ia pasti tidak akan sempurna," katanya.