Pemain pertahanan tengah Perancis, Laurent Koscielny, akan bersara daripada pentas bola sepak antarabangsa selepas kempen Piala Dunia tahun depan.

Koscielny, yang menjadi sebahagian daripada muka tetap skuad Les Bleus sejak membuat penampilan sulungnya pada November 2011, dijangka akan membuat kemunculan ke-50 dalam salah satu aksi persahabatan akan datang menentang Wales atau Jerman.

Koscielny sangat menonjol dalam kempen kelayakan Perancis ke temasya di Russia itu apabila bermain sepanjang 90 minit dalam lapan daripada 10 perlawanan mereka.

Tetapi, dia menerima hakikat bahawa semua perkara yang baik mesti berakhir sambil menegaskan dia akan mencecah usia 33 tahun, tidak lama selepas Piala Dunia.

Untuk itu, dia menganggap masanya untuk bersara sudah tiba.

"Ada detik penghujung terhadap segala-galanya," katanya kepada pemberita menjelang pertemuan dengan Wales, hujung minggu ini.

"Selepas Piala Dunia, saya akan berumur 33 tahun dan akan tiba masanya untuk berundur.

"Saya mempunyai tempoh enam bulan lagi bersama pasukan Perancis untuk berkembang dan menjadi sebahagian besar kenangan ini, seperti yang dikatakan oleh isteri saya," katanya.