Kontrak baru terlalu awal untuk difikirkan -- Guardiola

Oleh Penulis Jemputan 24 Disember 2019 224
Kontrak baru terlalu awal untuk difikirkan -- Guardiola
Pep Guardiola menegaskan masih terlalu awal buat dirinya berfikir untuk menandatangani kontrak lanjutan bersama Manchester City.

Perjanjian kontrak Guardiola bakal berakhir bagi musim 2020-21, namun terdapat laporan -- yang dinafikan Guardiola sendiri --- mendakwa terdapat klausa yang membenarkan beliau untuk meninggalkan kelab pada penghujung musim ini.

City telah memenangi dua gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam tiga musim penuh Guardiola tetapi ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu, Liverpool, di tangga ketiga ketika ini.

Guardiola mendakwa dirinya gembira bersama kelab, namun perbincangan mengenai kontrak baru masih lagi dalam fasa pramatang.

"Saya telah berada di sini selama empat musim dan penghujung musim depan adalah tahun kelima saya dan saya mahu terus bersama pasukan sehingga saat itu," katanya.

"Ia adalah jangka masa yang panjang, kita akan lihat. Kelab-kelab telah mula memecat pengurus sejak beberapa minggu lalu. Saya telah banyak memberikan jawapan yang sama sebelum ini. Saya sangat gembira di sini.

"Menandatangani kontrak baru harus dinilai sama ada saya berhak atau sebaliknya. Tahap sasaran dan objektif meningkat dengan lebih tinggi dan kami perlu melihat terlebih dahulu sama ada mampu menanganinya ataupun tidak.

"Ia bukan keputusan saya, kelab masih belum bersuara. Sekarang kami akan berehat seketika untuk Hari Krismas sebelum membuat persiapan berdepan Wolves, kemudian kami akan memikirkan tentang masa depan."

Guardiola kehilangan khidmat penolongnya, Mikel Arteta, minggu lalu apabila dilantik sebagai ketua jurulatih Arsenal.

"Arteta kini pengurus Arsenal," kata Guardiola ketika ditanya bagaimana City perlu menyesuaikan diri tanpa rakan senegaranya itu.

"Kami telah membuat persiapan tanpa Arteta sejak dua perlawanan lalu. Kami cuba untuk melakukan perubahan dan berusaha dengan lebih baik."

City akan berdepan Wolves, Jumaat ini sebelum menerima kunjungan Sheffield United ke Stadium Etihad kurang daripada 48 jam kemudian dan ia menghadirkan kekecewaan buat Guardiola.

"Rehat serta persiapan kurang daripada 48 jam adalah sesuatu yang tidak sesuai bagi saya.

"Tetapi perkara ini harus diharungi dalam saingan bola sepak Inggeris, jadi kami perlu menyesuaikan diri, tiada masalah."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen